suria

Usahawan Tempatan Perlu Akses Pasaran AEC Untuk Raih Faedah, Kata MTEM

KUALA LUMPUR: Usahawan tempatan, khususnya kalangan Industri Kecil dan Sederhana Melayu dan Bumiputera amat memerlukan maklumat serta akses pasaran yang terperinci bagi meraih faedah besar dalam Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Nizam Mashar berkata, ini penting kerana kekurangan pengalaman itu sebaliknya boleh mendedahkan usahawan berkenaan kepada risiko kegagalan.

Malah, tegasnya, dalam menghadapi pasaran yang lebih terbuka seperti AEC, status sebagai syarikat Bumiputera tidak membawa apa-apa makna kerana yang menjadi ukuran utama ialah daya saing, keupayaan dan prestasi.

"Mereka sememangnya menunggu peluang untuk meraih pegangan yang lebih bermakna dalam AEC, khususnya dengan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah AEC 2015," katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Menurut Nizam, maklumat itu penting kerana sebahagian daripada usahawan tempatan ini juga tidak pernah berdagang di peringkat antarabangsa.

"Pengalaman baru ini sekiranya tidak dipandu (dengan betul) bakal mendedahkan usahawan kepada risiko kegagalan yang besar dan menjejaskan usaha mempromosi keluaran tempatan ke rantau Asean," katanya.

Sehubungan itu, Nizam menggesa syarikat korporat dan berkaitan kerajaan (GLC) menyediakan platform bimbingan yang praktikal kepada usahawan untuk memasuki pasaran AEC berkenaan.

Kerajaan pula, sarannya, harus mewujudkan organisasi dikenali Agensi Usahawan Bumiputera Persekutuan untuk menyelia, memantau dan memperkasa keupayaan usahawan Bumiputera.

Peranan itu pernah dijalankan Kementerian Pembangunan Usahawan suatu ketika dahulu dan perlu diwujudkan kembali dengan strategi pelaksanaan serta matlamat keberhasilan lebih sistematik.

MTEM juga, katanya sedang membangunkan pangkalan data usahawan dan syarikat-syarikat Bumiputera yang berwibawa untuk dijadikan rujukan pihak yang berminat menggunakan perkhidmatan itu. 

AEC, MTEM, Nizam Mashar

Artikel Sebelum

Zahrah CEO Baharu SSM

Artikel Lain