suria

Sunway Medical Centre Labur RM12 Juta Dalam Sistem IT Hospital

PETALING JAYA: Sunway Medical Centre Sdn Bhd (SunMed) melabur RM12 juta untuk melaksanakan sistem maklumat hospital yang baharu, memulakan program transformasi digital lima tahun hospital tersebut.

Sistem baharu itu, dikenali C-HIS, akan menggantikan pendekatan tradisional rekod perubatan fizikal berasaskan kertas dengan rekod perubatan elektronik untuk pemindahan rekod yang lancar dari dan ke tempat penjagaan.

"Dengan C-HIS, kami akan memperkenal penggunaan PC tablet kepada doktor, ahli farmasi dan jururawat untuk membolehkan mobiliti dan fleksibiliti yang optimum ketika merawat pesakit dalam persekitaran pesakit di wad dan pesakit luar," kata Pengarah Urusan Sunway Healthcare Lau Beng Long di sini, Jumaat.

SunMed memilih Hitachi Sunway Information Systems Sdn Bhd untuk melaksanakan sistem maklumat hospital yang baharu oleh Telstra Health.

SunMed ketika ini mempunyai 359 buah katil, 119 suite perundingan dan 12 dewan bedah, dan menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan sejak 1999.

Bilangan katil akan meningkat kepada 600 menjelang 2017 apabila blok tambahan hospital itu siap.

SunMed juga mempunyai dua hospital baharu dalam perancangan, iaitu Sunway Velocity di Cheras dan sebuah lagi berhampiran pusat beli-belah Sunway Carnival di Pulau Pinang, masing-masing dengan 200 dan 220 katil.

Dua hospital baharu itu dijadual siap pada 2018.

SunMed, C-HIS, Lau Beng Long

Artikel Lain