suria

Asean: SCH Buka Pejabat Pertama Di Seberang Laut

KUALA LUMPUR: SCH Group Bhd membuka pejabat di Kemboja, yang pertama di seberang laut untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan Asean, kata Pengarah Urusan dan Timbalan Pengerusinya, Lau Mong Ling.

"Kemboja adalah negara pertama di Asean menjadi sasaran kami kerana terdapat banyak potensi untuk pertumbuhan perniagaan.

"Kedudukannya di tengah negara Asean lain sperti Thailand, Myanmar dan Laos juga strategik," katanya pada taklimat media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini, Isnin.

Lau berkata, pihaknya menyaksikan permintaan tinggi untuk jentera kuari dibaikpulih di Asia Tenggara kerana banyak kuari kecil tidak memerlukan jentera berkuasa tinggi dan baharu untuk operasi mereka.

"Pejabat jualan, pemasaran dan borong di Kemboja adalah usahasama 51:49 di antara SCH dan rakan kongsi tempatan.

"Ia menelan belanja di antara AS$50,000 hingga AS$60,000 (AS$1=RM3.55) untuk mendirikan pejabat itu dan dijangka siap menjelang suku ketiga tahun ini," katanya.

Menurutnya, syarikat itu mengedar dan membekalkan produk kepada lebih 500 pelanggan domestik dan 30 pelanggan luar negara.

Lau berkata, SCH berhasrat membuka pejabat di negara Asean lain untuk membekalkan pelbagai produknya, termasuk gril kuari kepada pengusaha kuari yang mempunyai operasi kuari dan perniagaan di seberang laut.

"Syarikat berharap untuk mengekalkan pertumbuhan dua angka kepada pendapatan perniagaan tahun ini walaupun terdapat ketidaktentuan," katanya.

SCH mengedarkan produk industri kuari, jentera kuari, kelengkapan kuari dan jentera kuari dibaikpulih serta alat ganti kepada industri kuari di Malaysia dan Asia Tenggara.

SCH Group Bhd, Kemboja, Lau Mong Ling

Artikel Lain