suria

PPSB Jangka Pertumbuhan Pengendalian Kargo Akan Naik Sedikit

GEORGE TOWN: Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menjangkakan hasil kewangan yang lebih baik dalam 2014 berikutan adanya peningkatan dalam perniagaan pengendalian kontena pada tahun lepas.

Pengurus Besar untuk marin, Shahruddin Zakaria, berkata sebanyak 1.3 juta TEU (Unit bersamaan 20 kaki) telah dikendalikan pada tahun lepas.

"Kami berjaya mencapai 1.3 juta TEU pada tahun lepas berbanding unjuran awal kami iaitu 1.2 juta dan saya percaya kami mampu mencatatkan keputusan yang lebih baik bagi 2014," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Kumpulan itu akan mengumumkan catatan hasil untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2014 pada hujung bulan ini atau Mac.

Katanya, walaupun harga bahan api semakin murah, kumpulan itu melihat kedatangan cabaran dalam pengoperasian feri pada tahun-tahun akan datang disebabkan pengguna akan beralih kepada kenderaan sendiri.

"Kami percaya jumlah penumpang akan turun sebanyak lima peratus tahun ini tetapi kami berharap langkah penjimatan kos seperti pemotongan dalam kos operasi untuk pembaikan dan penyelenggaraan, kakitangan dan harga minyak akan mengimbangi kerugian itu," katanya.

Beliau berkata kumpulan itu yakin sebaik sahaja, hab pengangkutan Penang Sentral siap, ia akan meningkatkan jumlah penumpang feri.

"Sejak pengambilalihan pada tahun lepas, Seaport Terminal telah melaksanakan pelbagai pelan tindakan bagi meningkatkan pendapatan serta menjadikan Penang Port lebih kos efisien", katanya.

PPSB, Shahruddin Zakaria, kontena

Artikel Lain