PUNB Tingkat Peruntukan Pinjaman Kepada RM320 Juta - Niaga | mStar

PUNB Tingkat Peruntukan Pinjaman Kepada RM320 Juta

Diterbitkan: Ahad, 8 Februari 2015 5:01 PM

(Ubah saiz teks)

BUTTERWORTH: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB)  meningkatkan peruntukan pinjaman kepada RM320 juta pada tahun ini dalam memberikan bantuan perniagaan kepada usahawan Bumiputera.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, peruntukan tersebut dinaikkan daripada RM300 juta yang diluluskan pada tahun lepas.

"Setiap tahun, kami menyasarkan peningkatan pinjaman selari dengan jumlah permohonan yang semakin bertambah khususnya daripada kelompok usahawan muda," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Sempena Tahun Baru Cina di sini, Ahad.

Katanya, daripada RM300 juta yang diluluskan pada tahun lepas, industri permotoran merupakan penerima tertinggi iaitu RM39 juta, industri makanan (RM28 juta) dan industri perkakasan dan kejuruteraan (RM26 juta).

Beliau turut berharap lebih ramai usahawan Bumiputera akan meneroka industri yang dikenal pasti berpotensi seperti borong dan automotif.

"PUNB akan melipat gandakan usaha untuk meningkatkan bilangan usahawan Bumiputera dalam bidang itu kerana industri ini menjanjikan pulangan yang amat lumayan," katanya.

Mohd Ali turut menyaran usahawan di bawah PUNB untuk meneroka pasaran antarabangsa terutamanya Asean dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

Katanya langkah itu seiring dengan kedudukan Malaysia sebagai pengerusi Asean dan dilihat mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

"Antara bidang yang dilihat mempunyai potensi pasaran yang besar di Asean ialah farmasi, optometri dan produk makanan," katanya.

Setakat ini, PUNB mempunyai kira-kira 4,800 usahawan yang aktif di seluruh negara.

Tags / Kata Kunci: PUNB , Bumiputera , Mohd Ali Rustam
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan