suria

Badan Koordinasi Industri Burung Puyuh Bakal Ditubuh Di Johor

Mohamed Khaled menggoreng burung puyuh di kiosk sebagai gimik perasmian pelancaran dan penyerahan kiosk puyuh goreng kepada usahawan-usahawan negeri Johor di Taman Lestari Ayer Hitam, Kluang, Ahad. Turut kelihatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Keusahawanan dan Koperasi Md Jais Sarday( tiga kanan belakang), Ketua Pegawai Eksekutif Puyooh Station Khairul Azahar Md Arsad (kanan) dan Duta Puyooh, Sofi Jikan (lima kanan ).

KLUANG: Sebuah badan koordinasi gerak kerja berkaitan industri burung puyuh bakal ditubuhkan di negeri ini dalam usaha membangunkan industri berpotensi itu, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata, badan tersebut akan bertindak sebagai pemudah cara untuk menguruskan perkara seperti memberi pinjaman kepada usahawan yang berminat.

"Selain pinjaman, ia juga akan membantu dalam hal berkenaan mencari lokasi penternakan burung puyuh yang sesuai dan bagaimana industri ini boleh menarik minat golongan belia negeri untuk turut terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran dan penyerahan kiosk puyuh goreng kepada 40 usahawan Johor di sini, Ahad.

Mohamed Khaled berkata, penubuhan badan itu perlu berikutan Johor merupakan pengeluar daging puyuh terbesar di Malaysia, dengan kapasiti pengeluaran kini sebanyak 450,000 ekor sebulan.

"Bukan setakat menjadi pengeluar terbesar, malah kita juga merupakan pengeluar benih burung puyuh kedua terbesar dalam negara selepas Kedah.

"Kira-kira 180,000 benih burung puyuh dikeluarkan sebulan," katanya.

Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri mahu memaksimumkan manfaat yang boleh dicapai untuk menjadikan industri itu berkembang seterusnya memberi pulangan yang lumayan kepada orang ramai.

Pada sidang media, Mohamed Khaled berkata kerajaan menggalakkan rakyat yang mempunyai tanah terbiar di negeri ini supaya mengusahakan sendiri atau memajakkan tanah mereka kepada mana-mana syarikat yang berminat untuk ternakan burung puyuh.

Sementara itu, penyerahan kiosk tersebut merupakan sebahagian daripada aktiviti utama syarikat Puyoooh Station untuk mengadakan kerjasama dengan usahawan kiosk dan kafe di Johor.

Pengurus Besarnya Mohd Fadli Ngaimin berkata syarikat menyasarkan 100 buah kiosk dan 10 usahawan kafe burung puyuh diwujudkan di seluruh negara pada tahun ini.

Katanya, dalam tempoh tiga tahun, syarikat turut menyasarkan pengeluaran daging puyuh melebihi sejuta sebulan selain melahirkan seramai 200 hingga 300  usahawan kiosk dan 60 usahawan kafe di seluruh Semenanjung Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Lain