suria

Farlim Group Bangunkan Projek Ekobandar Raya Asean Di China

BEIJING: Pemaju hartanah Farlim Group (Malaysia) Bhd akan membelanjakan sekurang-kurangnya AS$15 bilion bagi membangunkan Eko-Bandar raya Antarabangsa Asean di barat laut wilayah Shandong, China.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Lim Gait Tong berkata, bandar raya seluas 10.5 kilometer persegi itu akan menjadi platform pertukaran antara usahawan dan rakyat Asean dengan China.

Beliau berkata 11 projek ekonomi rentas sempadan dirancang untuk bandar raya yang terletak di daerah Qihe, 25 kilometer dari Jinan, bandar pusat Shandong dan pembangunan melibatkan syarikat dari Asean dan China.

"Apabila projek ini dilaksana sepenuhnya, ia dijangka menjana peluang perniagaan bernilai AS$51 bilion bagi Asean dan China menjelang 2025," katanya menambah projek-projek terbabit akan menghasilkan lebih 250,000 pekerjaan.

Bandar raya itu akan menempatkan pusat pameran perindustrian; perniagaan meliputi perniagaan borong dan runcit, industri komunikasi, digital, perkhidmatan perniagaan, pelancongan, perubatan dan pelancongan perubatan, serta kewangan dan insurans; fasiliti pendidikan tinggi dan latihan, keselamatan makanan dan pensijilan (termasuk pensijilan halal); dan pusat pertukaran kebudayaan China-Asean.

Bercakap kepada Bernama semasa jamuan malam bersempena Sambutan Tahun Baharu  China-Asean 2015 di sini pada Khamis, Lim berkata, pembinaan fasa pertama daripada tiga fasa bandar raya itu sudah bermula dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, fasa pertama merangkumi pusat kebudayaan dan komersial Asean-China, sebuah hotel dan spa serta persekitaran mesra hijau bagi generasi muda.

Lim berkata, Farlim Group memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi Asean tahun ini bagi menggalakkan pelabur memasuki pasaran China seiring  inisiatif 'Belt and Road' yang dicetuskan oleh Presiden Xi Jinping bagi mempertingkat kerjasama dalam perdagangan, infrastruktur dan pertukaran kebudayaan.

Dalam perkembangan lain, syarikat Malaysia, Sime Darby Bhd dan Perfect (China) Limited (Beijing Office) muncul antara pemenang Anugerah 10 Usahawan Asean Paling Berjaya Dalam Usaha Niaga di China 2014.

Presiden Eksekutif Majlis Perniagaan China Asean Xu Ningning berkata, anugerah tahunan itu bertujuan menggalakkan perusahaan untuk terus mempertingkat perdagangan dan pelaburan antara Asean dan China.

Artikel Berikut

Artikel Lain