suria

Pengalaman Jokowi Bantu Kukuhkan Hubungan Dagang Indonesia, Malaysia - Duta

Jokowi ketika mengadakan lawatan ke pelabuhan di negaranya sebaik memenangi kerusi Presiden Indonesia.

KUALA LUMPUR: Latar belakang Presiden Indonesia, Joko Widodo dalam bidang perniagaan dilihat dapat membantu mengukuhkan lagi hubungan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia, kata Duta Besar Indonesia di Malaysia Herman Prayitno.

Beliau berkata, pengalaman berdepan dengan pelbagai cabaran, kesukaran dan karenah birokrasi semasa menjadi ahli perniagaan membuatkan Presiden Indonesia yang terkenal dengan panggilan 'Jokowi' itu terpanggil menyediakan platform dagangan dan pelaburan yang lebih mudah.

"Sekarang beliau buat pelabur lebih 'nyaman' (mudah) sebab semua di bawah satu bumbung di kantor Badan Koordinasi Penamaan Modal (BKPM). Semua dipusatkan di sana. Pelabur hanya pergi ke sana, lihat apa yang mahu diurus, semua boleh dikerjakan di sana," kata beliau dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, baru-baru ini.

Jokowi memilih Malaysia sebagai destinasi pertama lawatan negara selepas mengangkat sumpah jawatan Presiden pada Oktober 2014.

Selain mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pelbagai isu termasuk dari sudut ekonomi.

Malaysia ialah antara rakan dagangan terbesar Indonesia dengan nilai dagangan antara AS$24 bilion hingga AS$25 bilion, selain merupakan antara negara pelabur terbesar di republik berkenaan.

Herman berkata, sehingga akhir 2014, jumlah dagangan Indonesia-Malaysia mencapai AS$19 bilion, dengan jumlah pelaburan Malaysia ke negara itu hampir mencecah US$1 bilion setakat ini.

Katanya ahli perniagaan Malaysia banyak melabur dalam sektor kelapa sawit, perbankan, perlombongan, telekomunikasi dan kesihatan di negara itu.

Semasa ditanya sama ada jumlah dagangan Indonesia-Malaysia boleh mencapai  AS$30 bilion seperti yang disasarkan sebelum ini, Herman berkata ia agak sukar dicapai memandangkan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu.

Bagaimanapun, katanya usaha gigih perlu diteruskan dalam meningkatkan lagi hubungan dagang kedua-dua negara.

Dalam pada itu, Malaysia sebagai antara kuasa ekonomi di rantau ASEAN diharap dapat berkongsi rahsia dan ilmu kepada Indonesia bagaimana untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Mengulas lanjut, Herman berkata Indonesia turut berhasrat untuk meningkatkan pendapatan per kapita yang kini berada pada kadar AS$3,500 - AS$4,000, ke satu kadar yang lebih tinggi.

"Mungkin 10 tahun lagi pendapatan kita boleh mencapai AS$10,000 per kapita," katanya.

Menyentuh bidang kerjasama lain yang boleh diteroka pelabur Malaysia di Indonesia, Herman berkata Presiden Jokowi berhasrat membangunkan beberapa pelabuhan baharu di Indonesia termasuk di Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi.

"Ini kesempatan bagi pelabur Malaysia untuk ikut bangunkan infrastruktur di pelabuhan, galangan-galangan kapal (dermaga) dan lebuh raya. Boleh pergi sahaja ke BKPM dan lihat apa yang boleh dikerjakan pelabur Malaysia," jelasnya.

Bagi sektor kelapa sawit, duta itu yakin Jokowi dan Najib akan berbincang tentang bagaimana memastikan harga komoditi itu tidak terus turun dan mampu kekal bersaing di pasaran dunia.

Menurutnya, kempen juga perlu dijalankan di negara-negara Eropah serta di Amerika Syarikat untuk membetulkan persepsi umum mengenai kebaikan minyak sawit.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain