suria

10 Powerr SSP BSN Buka Tirai 2015 Dengan Nafas Baharu

SIJIL Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) kembali lagi dengan konsep SSP yang baharu sempena 2015.

BSN pada Ahad telah memperkenalkan dan melancarkan Cabutan serta Hadiah SSP yang menanti penyimpan bagi tahun ini.

Pada majlis pelancaran ini, BSN memperkenalkan empat (4) cabutan SSP 2015 iaitu, Cabutan Istimewa, Bulanan, Tempatan dan yang terbaharu, Cabutan Mingguan.

BSN mengekalkan hadiah SSP RM1juta sebagai hadiah utama SSP bagi Cabutan Istimewa pada cabutan Disember 2015 nanti. Manakala, hadiah Cabutan Bulanan dikekalkan kepada hadiah berupa kereta mewah iaitu BMW dan Mercedes Benz yang akan dicabut satu(1) kali setiap bulan.

Bagi Cabutan Tempatan, BSN menawarkan hadiah baru berupa kereta Perodua Axia. Kelainan bagi Cabutan Tempatan pada tahun ini, BSN akan memberikan 13 kereta pada setiap bulan iaitu sebuah kereta kepada pemenang daripada setiap negeri.

Manakala bagi Cabutan Mingguan, BSN menawarkan hadiah wang berupa SSP dimana cabutan diadakan dua(2) kali seminggu iaitu pada setiap Isnin dan Rabu kecuali cuti umum. Tahun ini, BSN menawarkan lebih 88,000 hadiah dengan jumlah nilai keseluruhan melebihi RM18 juta.

Hadir di majlis pelancaran SSP ini adalah Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar Abdullah; Timbalan Ketua Eksekutif Sokongan Korporat, Ahmad Latfan Mohd Amran; dan juga wakil-wakil daripada Auto Bavaria, Cycle and Carriage Berhad dan Perodua Sales Sdn Bhd yang turut hadir untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai pembekal-pembekal rasmi hadiah kereta SSP sepanjang tahun 2015 ini.

Bercakap di sidang media, Ahmad Latfan Mohd Amran berkata, BSN memperkenalkan cabutan baharu pada tahun ini, iaitu Cabutan Mingguan. Kini, penyimpan berpeluang untuk menerima ganjaran bukan sahaja pada setiap bulan, malah kini pada setiap minggu.

Pada tahun ini, BSN menawarkan lebih banyak hadiah wang berupa SSP berbanding pada tahun-tahun lepas yang menawarkan hadiah gajet dan lain-lain."Semoga pembaharuan ini dapat memupuk orang ramai untuk menyimpan wang bagi kepentingan dan kegunaan masa hadapan," katanya.

Pembaharuan jenis cabutan dan hadiah pada tahun ini adalah komitmen BSN untuk menggalakkan orang ramai menyimpan bersama SSP kerana hanya dengan SSP sahaja mereka boleh mendapat ganjaran yang berlipat ganda.

Selain itu, inisiatif ini juga sejajar dengan misi BSN untuk menjadikan tabiat menyimpan sebagai satu cara hidup masyarakat pada masa kini.

Orang ramai boleh membuat simpanan SSP di mana-mana cawangan BSN, Mesin Teller Automatik (ATM) BSN, Mesin Deposit Tunai (CDM) BSN, Perbankan Internet (myBSN), Perbankan SMS dan melalui Ejen Bank Berdaftar (EB) BSN di seluruh negara.

Pelanggan juga boleh membuat simpanan SSP di Unit Bank Bergerak (UBB) BSN di lokasi-lokasi terpilih. Dengan simpanan minimum RM10 sahaja, pelanggan boleh menyertai cabutan dan memenangi hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan.

Jutawan SSP 2014 yang turut hadir di majlis ini adalah dua pemenang Cabutan SSP Disember 2014 yang lalu iaitu Wan Norhisham Pawan, pemenang Cabutan Istimewa dan Abdul Rahman Tik, pemenang Cabutan Bulanan.

Wan Norhisham, 44 tahun yang berasal dari Kuala Lumpur memenangi SSP RM1juta dan merupakan jutawan kedua yang lahir daripada SSP BSN.

Kata Wan Norhisham, usaha dan kesabarannya selama 10 tahun menyimpan dengan SSP akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya menjadi pemenang SSP RM1juta yang menjadi rebutan orang ramai dalam Cabutan Istimewa SSP 2014.

"Saya  bersyukur dan masih lagi tidak percaya bahawa sayalah pemenang Cabutan Istimewa BSN," katanya.

Turut menyuarakan kegembiraan dan keyukuran adalah Abdul Rahman, 72 dari Johor yang juga pemenang Cabutan Bulanan SSP Disember 2014 yang telah memenangi Mercedes Benz C200."

Menyimpan dalam SSP bukanlah bergantung kepada berapa besar jumlahnya tetapi komitmen untuk mengekalkan simpanan tersebut demi kepentingan masa hadapan yang sentiasa menjadi keutamaan bagi diri saya. Mungkin giliran anda pula untuk menjadi pemenang suatu hari nanti," katanya.

SSP adalah produk simpanan patuh syariah yang menggunakan konsep Mudharabah iaitu perkongsian keuntungan. Sehingga hari ini, BSN mempunyai lebih 2.1juta penyimpan dan lebih RM2.7bilion simpanan SSP daripada penyimpan-penyimpan seluruh Malaysia.

10 Powerr SSP Penampilan khas 10 Powerr SSP pada tahun ini merupakan pembaharuan SSP BSN buat semua di luar sana. Rasional 10 Powerr adalah kerana dengan hanya RM10, penyimpan berpeluang untuk mendapat lebih banyak ganjaran.

Ia diperkenalkan untuk menggalakkan lagi orang ramai menyimpan. Melalui simpanan minimum RM10, penyimpan SSP BSN berpeluang memenangi hadiah hebat dan lumayan seperti SSP RM1juta, kereta mewah BMW dan Mercedes Benz, dan SSP pelbagai nilai, tertakluk kepada terma dan syarat.

Ibarat RM10 yang hari-hari kita gunakan, jumlah kecil yang diambil mudah ini sebenarnya mempunyai kuasa untuk mengubah hidup anda dengan cara yang tidak dijangka.

"Bayangkan hanya dengan simpanan minima RM10, pelbagai ganjaran hebat yang boleh dinikmati. Inilah yang disampaikan oleh BSN melalui 10 Powerr," tambah Ahmad Latfan.

BSN akan terus memastikan produk SSP bukan sahaja menawarkan hadiah yang menarik, malah akan sentiasa mempelbagaikan bentuk cabutan dari masa ke semasa.

Usaha BSN yang berterusan ini adalah untuk menggalakkan tabiat menyimpan di kalangan masyarakat. 

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai SSP, boleh melayari www.mybsn.com.my.

Artikel Berikut

Artikel Lain