suria

Aminvestment Bank Menang Dua Anugerah Alpha Southeast Asia 2014

KUALA LUMPUR: AmInvestment Bank Bhd (AmInvestment Bank) memenangi dua anugerah - Urus Niaga Paling Inovatif Terbaik di Asia Tenggara bagi Sukuk Basel III RM200 juta AmIslamic Bank dan Urus Niaga Reit Islam Terbaik Tahunan di Asia Tenggara bagi Program Sukuk Murabahah RM3 bilion KLCC Reit.

Anugerah anjuran Alpha Southeast Asia, majalah bulanan institusi, disampaikan pada AnugeRah Urus Niaga dan Penyelesaian Tahunan Ke-8 Alpha Southeast Asia 2014 yang berlangsung di sini pada 29 Januari, demikian menurut satu kenyataan.

Anugerah Urus Niaga Paling Inovatif itu disampaikan oleh Siddiq Bazarwala, Penerbit Alpha Southeast Asia kepada, Datuk Mohd Effendi Abdullah, Naib Presiden Kanan/Ketua Pasaran Islam AmInvestment Bank, yang menerima anugerah itu bagi pihak bank.

AmInvestment Bank dipilih sebagai penasihat kanan tunggal, pengatur utama dan pengurus utama bagi Sukuk RM200 juta yang diterbitkan menerusi Program Sukuk Murabahah Subordinat Tahap 2 RM3 bilion patuh Basel III.

Terbitan Sukuk itu merupakan terbitan Sukuk Tahap 2 patuh Basel III pertama di Malaysia, yang membuktikan keupayaan Bank itu dalam menstrukturkan Sukuk selain mempamerkan rekod baiknya dalam inovasi produk.

Mohamad Sabirin, Naib Presiden Kanan, AmIslamic Bank Bhd turut hadir untuk menerima anugerah itu bagi pihak penerbit, AmIslamic Bank.

Anugerah Urus Niaga Reit Islam Terbaik Tahunan disampaikan kepada Seohan Soo, Naib Presiden Eksekutif Pasaran AmInvestment Bank yang menerima anugerah berkensan bagi pihak bank.

Program Murabahah Sukuk RM3 bilion KLCC Reit merupakan usaha sama dengan  AmInvestment Bank yang berperanan sebagai penasihat utama bersama, penasihat, pengatur utama bersama dan pengurus utama.

Urus niaga itu merupakan Reit korporat yang diberikan penarafan AAA pertama di Malaysia, yang mencerminkan profil kewangan Reit yang tinggi dan berkait rapat dengan Petronas yang merupakan pemegang majoriti unit.

Artikel Lain