suria

JCorp Berminat Ambil Alih Ladang Satelit NFC

SERDANG: Johor Corporation (JCorp), berminat untuk mengambil alih semua ladang satelit tinggalan Pusat Fidlot Nasional (NFC) termasuk di Gemas, Negeri Sembilan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Mereka telah bentangkan kepada saya permohonan pengambilalihan itu dan mereka akan membentangkan sekali lagi kepada pihak Jabatan Veterinar untuk penerangan secara lebih teknikal dan terperinci," katanya kepada media selepas menyampaikan Amanat Menteri 2015 kepada warga kementeriannya, di sini, Isnin.

Ismail Sabri bagaimanapun berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan selain perlu mengambil kira persetujuan kerajaan Negeri Sembilan yang kini bertanggungjawab ke atas ladang NFC di Gemas.

NFC memiliki 61 ladang ternakan satelit di seluruh negara termasuk di Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata usaha untuk memulihkan semula ladang-ladang terbabit merupakan sebahagian daripada inisiatif kementeriannya untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran ternakan lembu termasuk pembukaan kawasan ternakan baharu di Perak.

"Kita juga akan memberi tumpuan kepada ternakan lembu tenusu yang boleh digunakan untuk kedua-dua tujuan iaitu yang boleh mengeluarkan susu dan daging," katanya.

Ismail Sabri berkata kementeriannya juga mahu bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar dapat membantu negara meningkatkan produk pertanian tertentu.

"Secara tidak rasmi saya telah suarakan hasrat saya ini kepada beberapa agensi termasuk Felcra, Felda dan Tabung Haji dan kita akan cuba dapatkan GLC lain supaya kita dapat membantu menambahkan pengeluaran," katanya.

JCorp, NFC

Artikel Lain