suria

Pendaftaran GST Memberangsangkan - Ahmad Husni

PUTRAJAYA: Bilangan syarikat dan orang persendirian yang mendaftar perniagaan mereka dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terus meningkat kepada 306,000 pendaftaran.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, jumlah itu merupakan perkembangan yang memberangsangkan bagi kerajaan menjelang April ini.

"Sokongan daripada pihak swasta begitu tinggi. Sehingga semalam (Ahad) sebanyak 306,000 perniagaan telah mendaftar dengan Jabatan Kastam.

"Walaupun tarikh akhir pendaftaran pada 31 Disember, masih ada lagi yang mendaftar...sampai ke peringkat 500 sehari pun ada, pada hujung minggu pun kita dapat lebih 100 pendaftaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-33, di sini, Isnin.

Ahmad Husni berkata sokongan daripada semua pihak adalah perlu kerana GST merupakan salah satu perkara yang penting ketika negara berdepan dengan cabaran ekonomi.

"Bila berlaku cabaran ekonomi khususnya penurunan minyak maka pendapatan negara berkurangan.

"GST memainkan peranan penting dari segi meningkatkan pendapatan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai pendaftaran GST, beliau menjangkakan ia akan berterusan dan menunjukkan angka lebih tinggi sehingga GST dilaksanakan pada 1 April ini.

Jelasnya, GST tidak hanya melibatkan pembayar cukai semata-mata tetapi juga agensi-agensi pelaksana lain, termasuklah Jabatan Kastam.

"Walaupun kita lihat Jabatan Kastam telah memainkan peranan secara efisyen, begitu juga sokongan daripada syarikat-syarikat swasta yang tinggi, pada masa akan datang kita mahu melihatnya secara lebih insklusif.

"Kita harap pada masa akan datang, akan ada budaya yang berteraskan komitmen masing-masing misalnya Kastam kutip cukai untuk pastikan barang-barang tak diseludup ke negara kita dan pembayar cukai mempunyai komitmen bayar cukai 100 peratus dan ambil inisiatif sendiri tidak seludup barang," katanya.

Katanya, jika budaya tersebut dapat dicapai secara kerjasama, manfaatnya bukan hanya dikecapi negara tetapi seluruh rakyat.

GST yang dikenakan pada kadar enam peratus, akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 16 peratus, mulai 1 April 2015.

GST, Kastam

Artikel Lain