suria

Bank Muamalat Sasar Tambahan Deposit Akaun Simpanan

SHAH ALAM: Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) menyasarkan tambahan deposit akaun simpanan sebanyak RM200 juta melalui kempen deposit Akaun Simpanan Oh Yeah! yang bermula pada Januari sehingga Mei tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Perniagaan BMMB Mashitah Osman berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan jangkaan lebih 60,000 akaun baharu yang bakal dibuka oleh pelanggan menjelang berakhirnya kempen berkenaan.

"Melalui kempen Oh Yeah!, Bank Muamalat berjaya mengumpul 30 ribu pelanggan baharu dalam tempoh 1 Jun sehingga 31 Disember lepas, dan berdasarkan jumlah itu, kami optimis akan berlaku peningkatan dua kali ganda tambahan deposit akaun simpanan menjelang tamatnya kempen ini pada 31 Mei depan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah cabutan bertuah berupa wang tunai kepada pemenang kempen deposit Oh Yeah! bagi bulan Jun sehingga Disember 2014, di sini, Jumaat.

Mashitah berkata, kempen yang bermula pada 1 Jun lepas, merupakan usaha Bank Mualamat untuk menarik pelanggan baharu membuka akaun simpanan, sekali gus turut membuka peluang kepada mereka memenangi wang tunai sebanyak RM1 juta.

"Kempen ini terbuka kepada semua individu berusia 18 tahun ke atas dan untuk layak menyertai cabutan bertuah, pelanggan baharu perlu membuka akaun dengan deposit permulaan minimum RM1,000 manakala pelanggan sedia ada perlu menambah simpanan melebihi RM1,000.

"Kempen selama 12 bulan ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM3.48 juta dan kita juga bakal melahirkan jutawan kedua selepas tamatnya kempen ini," katanya.

Jelas Mashitah, kempen itu juga merupakan antara tanda penghargaan Bank Muamalat terhadap kepercayaan yang diberikan pelanggan. 




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain