suria

Toshiba Melabur AS$1 Bilion Di Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Toshiba Corporation mengukuhkan komitmennya untuk melabur AS$1 bilion di Asia Tenggara bagi tempoh lima tahun akan datang dan menyasarkan peningkatan jualan semasa di rantau itu kepada AS$7 bilion dalam tempoh yang sama.

Naib Presiden Korporat dan Wakil Korporat Asia, Fumio Otani berkata, Toshiba di Malaysia mahu memperkukuhkan kehadirannya dalam bidang seperti tenaga, penjagaan kesihatan dan penyelesaian bangunan.

Toshiba memulakan perniagaannya di Malaysia sejak 1968, awalnya bagi barang elektronik pengguna yang pada masa ini diwakili oleh Toshiba Sales dan Services Sdn Bhd.

Bercakap kepada pemberita di sini mengenai strategi Toshiba bagi Asean dalam 2015, Otani berkata syarikat itu meletakkan kedudukannya dalam bidang penjagaan kesihatan sebagai satu daripada tiga tonggak utama perniagaan.

"Kita telah membina kilang pengeluaran peralatan kesihatan baharu di Pulau Pinang, yang menjadi peneraju penghasilan sistem ultra bunyi diagnostik dalam negara," katanya.

Sebagai tambahan, Toshiba meningkatkan keupayaannya dengan mewujudkan anak syarikat jualan, Toshiba Medical Systems Malaysia Sdn Bhd pada tahun lepas untuk membantu mempromosikan sektor pelancongan kesihatan negara.

Otani berkata Toshiba juga terlibat dalam industri penjanaan tenaga di Malaysia daripada pemindahan terma dan kuasa hidro serta pengedaran peralatan.

"Kita akan terus menyediakan teknologi, produk dan penyelesaian yang menjadi keperluan kepada kehidupan. Kita yakin untuk meneruskan perniagaan dengan perkembangan pasaran seperti Malaysia," kata Otani, yang juga Pengarah Urusan Toshiba Asia Pacific Pte Ltd.

"Jika perniagaan berjalan dengan baik di sini, kami akan melabur semula dengan lebih banyak dalam bidang tersebut dalam negara ini," katanya dengan menambah, situasi semasa merupakan cabaran yang memberi ketidaktentuan kepada ekonomi.
Toshiba, Asia Tenggara, Fumio Otani

Artikel Sebelum

Artikel Lain