IJM Land Buka Tempahan Banglo Sherwood

Diterbitkan: Khamis, 22 Januari 2015 4:23 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, IJM Land Bhd telah menyiapkan projek banglo Sherwood di Kinrara South membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM95 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Datuk Soam Heng Choon berkata pihaknya kini membuka tempahan bagi banglo itu yang berharga serendah RM2.9 juta untuk seunit.

"Sherwood menepati pembeli yang mengimpikan kediaman kontemporari dikelilingi persekitaran ekologi hutan simpan dan kemudahan gaya hidup serba eksklusif bagi penghuninya," katanya pada sesi taklimat media projek Sherwood di sini, Khamis.

Projek di kawasan seluas 1.58 hektar tanah itu menawarkan 27 unit banglo tiga setengah tingkat dengan tiga pilihan reka bentuk berkeluasan 5,418 kaki persegi sehingga 5,602 kaki persegi.

Lokasi pembangunan itu sememangnya strategik kerana terletak berhampiran kemudahan rangkaian lebuh raya utama seperti Lebuhraya Damansara-Puchong, Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan.

Selain itu, Soam berkata syarikat itu ketika ini memiliki bank tanah kira-kira 2,023.43 hektar tanah yang belum dimajukan di serata tanah air dengan nilai GDV dianggarkan RM30 bilion.

"Oleh kerana kita sudah pun memiliki bank tanah berkenaan, syarikat akan memulakan usaha berskala besar membabitkan aspek kapasiti dan kekuatan kewangan.

"Kita juga mempunyai kira-kira 15 projek di lokasi berbeza, termasuk projek Fasa Dua Royal Mint Gardens di London yang merangkumi sebuah hotel lima bintang dilengkapi 236 bilik, 33 unit pangsapuri servis dan 79 unit pangsapuri dengan anggaran GDV 200 juta pound sterling. Pelancarannya dijangka dapat dibuat tahun ini," katanya.

Mengulas penswastaan penuh IJM Land Bhd, Soam berkata, ia dijangka dapat dimuktamadkan menjelang April depan selepas mendapat kelulusan pemegang sahamnya dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM), bulan depan.

"EGM itu akan diadakan pada 12 Februari bagi mendapatkan kelulusan pemegang saham dan kelulusan mahkamah pada Mac. Adalah diharapkan, penswastaan itu dapat dimuktamadkan pada April," katanya.

Berikutan penswastaan itu, IJM Land akan menjadi anak syarikat milik penuh IJM Corporation Bhd.

Tags / Kata Kunci: IJM Land Bhd , Sherwood , Kinrara South , banglo

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan