suria

Kempen 'Make In India' Buka Peluang Kepada Firma Malaysia

Mustapa Mohamed

NEW DELHI: Kempen 'Make In India' yang bermatlamat menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini, menawarkan potensi besar untuk disertai firma Malaysia, terutama syarikat yang terlibat dalam sektor pembinaan dan infrastruktur.

Walaupun kempen itu lebih terarah kepada sektor pembuatan, namun ia memerlukan ekosistem infrastruktur yang kondusif untuk memajukan sektor itu (pembuatan), dan Malaysia mempunyai kelebihan saingan berdasarkan ia merupakan peserta yang lebih kukuh.

Kita kurang kukuh dalam sektor pembuatan, namun boleh menyertai dalam pembangunan infrastruktur," kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang baru sahaja menamatkan misi perdagangan dan pelaburan ke India.

Malaysia bukan lagi asing dalam pembangunan infrastruktur di India.

Menurut Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), firma Malaysia sudah menyiapkan projek infrastruktur bernilai AS$5.1 bilion (RM18.17 bilion) di India.

Justeru, syarikat pembinaan dan infrastruktur Malaysia mempunyai potensi besar untuk menceburi peluang terbuka ini yang terhasil daripada usaha India untuk meningkatkan infrastruktur dan peluang untuk mewujudkan ekosistem pembuatan yang lebih baik, katanya.

Industri perkhidmatan yang menyokong ekosistem sektor pembuatan, antara lain juga dapat meraih manfaat daripada ledakan dalam sektor pembuatan di India.

Oleh itu, pelancaran kempen promosi mega ini merupakan inisiatif bijak untuk meningkatkan aktiviti di wilayah ini yang akan menyemarakkan rangkaian bekalan dan nilai di rantau ini.

"Firma Malaysia mempunyai minat mendalam terhadap projek di luar negara, dan berdasarkan kempen dan inisiatif di India, kami berharap lebih banyak syarikat Malaysia aktif di India dan sebaliknya, syarikat India melabur di Malaysia," kata Mustapa.

Sementara itu, eksport barangan pengantara Malaysia sudah pun menjadi antara rangkaian pembuatan India seperti kimia, derivatif minyak sawit, alat dan komponen, produk elektrik dan elektronik, yang digunakan oleh syarikat perkilangan India dalam menghasilkan produk akhir, katanya.

Kita berharap trend ini akan meningkat dengan penyertaan pelabur ke India hasil daripada kempen 'Make in India,' kata Mustapa.

Daripada 25 sektor yang dikenal pasti, syarikat Malaysia terlibat dalam lima sektor - komponen auto, pembinaan, perlombongan, jalan dan lebuh raya serta penerbangan.

Namun masih banyak bidang yang boleh diceburi dan boleh diterokai oleh ahli perniagaan Malaysia seperti pemprosesan makanan, pelancongan, minyak dan gas serta media dan hiburan.

Pelaburan Malaysia di India juga menunjukkan trend peningkatan.

Pada 2013, pelaburan Malaysia di India merekodkan peningkatan ketara, sebanyak 43.89 peratus bernilai RM6.04 bilion (AS$1.92 bilion) berbanding RM3.39 bilion (AS$1.09 bilion) pada 2012.

Jumlah dagangan Malaysia-India dari Januari ke November 2014 mencecah AS$12.59 bilion (RM40.91 bilion). Jumlah dagangan pada 2013 sebanyak AS$13.38 bilion (RM42.12 bilion). 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain