suria

Penurunan Harga Minyak Beri Manfaat Firma Plastik, Petrokimia - Matrade

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyatakan industri yang menggunakan minyak mentah sebagai komponen utama dalam produk mereka akan mendapat manfaat daripada harga minyak mentah global yang rendah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Wong Lai Sum berkata sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia akan sedikit terjejas oleh senario sekarang walaupun industri tertentu seperti plastik dan petrokimia yang menggunakan minyak sebagai bahan mentah akan lebih kompetitif.

"Ia ada baik dan ada buruknya, bahan mentah lebih murah akan memacu industri untuk terus berkembang," katanya.

Wong berkata Matrade akan menganjurkan 116 promosi perdagangan ke 46 negara tahun ini, meningkat daripada 108 misi tahun lepas.

"Tahun lepas kita mencatatkan prestasi baik dan menjana jualan RM27.7 bilion daripada aktiviti promosi perdagangan.

"Bagi 2015, kita harus melangkah ke hadapan, teroka pasaran baharu dan berkembang lebih luas ke dalam pasaran," katanya pada sesi soal jawab selepas taklimat mengenai aktiviti promosi perdagangan Matrade bagi 2015 di sini, Khamis.

Beliau menegaskan kepentingan bagi syarikat Malaysia untuk bekerjasama dengan pemain antarabangsa dan mengekalkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan antarabangsa.

"Kita juga perlu peka dengan aliran ekonomi global dalam tempoh enam bulan akan datang," katanya sambil menambah Matrade memberi penekanan kepada program lebih berfokus di rantau Asean.

Agensi itu akan meningkatkan lagi promosi sektor perkhidmatan dengan menumpukan kepada perkhidmatan boleh didagang pertumbuhan tinggi dalam industri merangkumi penjagaan kesihatan, pendidikan, pembinaan, reka bentuk dan kerja kejuruteraan serta teknologi maklumat dan komunikasi yang mempunyai potensi.

matrade, petrokimia, plastik, minyak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain