suria

BiotechCorp Sasar Pendapatan RM2 Bilion Daripada 248 Firma Status BioNexus

KUALA LUMPUR: Malaysian Biotechnology Corp (BiotechCorp) menyasar untuk meraih pendapatan sebanyak RM2 bilion daripada 248 syarikat berstatus BioNexus pada 2015, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal.

Syarikat-syarikat berkenaan menjana pendapatan sebanyak RM1.4 bilion pada  2014 berbanding RM1.169 bilion pada 2013.

BioNexus merupakan status istimewa yang diberikan kepada syarikat bioteknologi Malaysia dan antarabangsa yang berkelayakan mendapat insentif fiskal, geran dan jaminan yang diuruskan oleh BiotechCorp.

Nazlee berkata, hasil yang dijana akan dipacu melalui peningkatan dalam syarikat-syarikat yang telah menembusi pasaran Amerika Latin, Asia dan Eropah sebelum memasuki Amerika Syarikat.

Lima puluh tiga peratus daripada 248 syarikat berstatus BioNexus ini menjana pendapatan yang baik manakala usaha sedang dibuat untuk membantu yang lain, katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Terdahulu, Nazlee menyampaikan ucapan perasmian bengkel dua hari, 'Program Pemecut Bioekonomi: Program Bantuan Pengkomersilan (CAP)' untuk 20 syarikat berstatus BioNexus, di sini.

Program itu dengan kerjasama Larta Institute of California untuk syarikat baharu dan sedia ada, terutamanya dalam sektor sains hayat dan agro-bioteknologi di Malaysia.

Larta merupakan perbadanan bebas yang menyediakan perkhidmatan profesional dalam mereka bentuk dan menguruskan program pengkomersilan di seluruh dunia.

"Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam CAP sebelum ini dilaksanakan pada 2010, mendapat manfaat daripada pendekatan Larta dalam membimbing syarikat peringkat awal, merapatkan mereka kepada pelabur dan industri dalam membentuk hubungan strategik penting untuk pengkomersilan," katanya.

Semasa bengkel itu, syarikat akan mempunyai peluang untuk mengambil bahagian dalam sesi interaktif khusus mengenai akses pasaran, landskap perniagaan, harta intelek, pembiayaan, pemasaran, penjenamaan dan perkongsian perniagaan.

BiotechCorp merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan agensi pembangunan utama industri berasaskan bio di Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain