suria

SMRT Holdings, Creador 11 LLC Muktamadkan Pelan Ambil Alih Kepentingan Masterskill

KUALA LUMPUR: Anak syarikat SMRT Holdings Bhd, Strategic Ambience Sdn Bhd (SASB) dan subsidiari Creador II LLC, Arenga Pinnata Sdn Bhd (APSB), memuktamadkan pelan bagi mengambil alih 30.75 peratus kepentingan dalam Masterskill Education Bhd bernilai RM122 juta.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Creador, Brahmal Vasudevan berkata pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang akhir Mac 2015.

"Susulan pengambilalihan 30.75 peratus kepentingan itu dan 19.26 peratus yang dimiliki Creador sekarang, kami akan memiliki kuasa mengawal Masterskill.

"Dalam tempoh 12 bulan kami akan memastikan pulang modal dan seterusnya mengembangkan perniagaan," katanya kepada pemberita pada majlis memeterai perjanjian penjualan, di sini, Isnin.

Masterskill kembali meraih keuntungan apabila mencatatkan keuntungan pracukai RM6.343 juta dalam suku ketiga berakhir 30 September 2014 daripada kerugian  RM104.436 juta pada 2013.

Pendapatan jatuh kepada RM8.680 juta daripada RM15.556 juta yang dicatat sebelum ini.

Di bawah perjanjian jualan itu, APSB akan membeli 7.75 peratus saham yang dipegang oleh Pengarah Eksekutif Masterskill Siva Kumar Jeyapalan dengan baki  23 peratus lagi diambil alih oleh SASB.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SMRT Datuk R. Palan berkata  Masterskill akan dijenamakan semula dan dikenali sebagai Asiamet Education Group Bhd.

"Kami juga berhasrat mengekalkan status penyenaraian syarikat di Pasaran Ace dan dalam tempoh tiga hingga enam bulan kami menyasarkan penyenaraian di Pasaran Utama.

"SMRT berjaya mengubah situasi Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dalam tempoh yang singkat dan kami jangka senario serupa untuk Asiamet," katanya.

Menurutnya akan diwujudkan sinergi antara kedua-dua kolej yang dijangka mengurangkan asas kos operasi dan meningkatkan kecekapan.

"Sinergi ini akan mengurangkan kos pemasaran sekitar 20 hingga 30 peratus," kata Palan.

Artikel Lain