suria

EGM PNHB Raih Undi Pemegang Saham Berhubung Penstrukturan Semula

SHAH ALAM: Proses penstrukturan semula Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) yang dicadangkan kerajaan Selangor akan diputuskan secara undian oleh pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa, Rabu ini.

Ketua Pegawai Operasi PNHB, Datuk Syed Danial Syed Ariffin berkata, mesyuarat luar biasa itu bagi mendapatkan sekurang-kurang 75 peratus persetujuan daripada pemegang saham PNHB berhubung cadangan penstrukturan semula syarikat tersebut.

Beliau berkata, persetujuan daripada pemegang saham PNHB juga antara syarat untuk memastikan perjanjian jual beli melibatkan Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang ditandatangani antara syarikat itu dengan kerajaan Selangor pada 11 November lepas dapat diteruskan.

"Walaupun perjanjian telah ditandatangani, namun kita perlukan juga sokongan daripada pemegang-pemegang saham. Kita akan bentangkan cadangan penstrukturan itu, dan mereka (pemegang saham) akan buat undian sama ada untuk teruskan kandungan perjanjian," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Syed Danial, yang juga Pengarah Urusan PNSB, ditemui selepas menghadiri majlis sambutan '20 Tahun Kecemerlangan PNSB' di Wisma Rozali, di sini.

Mesyuarat agung luar biasa PNHB dijangka diadakan di Hotel Concorde di sini pada Rabu yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif PNHB Tan Sri Rozali Ismail, sebagai pemegang saham terbesar syarikat berkenaan.

Dalam pada itu, Syed Danial berkata kegemilangan selama 20 tahun sebagai peneraju utama dalam perawatan air mentah di Lembah Klang membuka dimensi baharu kepada syarikat itu untuk terus berdaya saing bagi memenuhi kehendak dan kepuasan pengguna air pada masa depan.

"Pengalaman itu berjaya mengiktiraf PNSB dalam pelbagai anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa malah kami beriltizam untuk terus menyelongkar kemahiran terkini dalam memberikan impak kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata pelbagai inovasi telah dicipta syarikat itu sepanjang tempoh berkenaan termasuk mengambil alih dan menambah baik 27 loji rawatan air di samping membina loji baharu di Wangsa Maju dan loji Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2).

Syed Danial berkata syarikat juga membelanjakan antara RM20 juta hingga RM40 juta setahun bagi memastikan pemeriksaan penyelenggaraan peralatan perawatan air dapat dijalankan dengan baik demi kepuasan pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.



PNHB, Rozali Ismail, undian

Artikel Lain