suria

Mida Gesa Syarikat Bumiputera Manfaat Dana DISF

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggesa syarikat Bumiputera supaya memanfaatkan Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) yang disediakan bagi membantu meningkatkan kualiti produktiviti.

Pengerusinya Tan Sri Amirsham A. Aziz berkata di bawah dana tersebut, MIDA telah meluluskan 135 projek dengan dana berjumlah RM577.6 juta setakat November tahun ini.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 32 projek berjumlah RM124.5 juta atau 22 peratus daripadanya merupakan projek bagi syarikat Bumiputera.

"Syarikat tersebut terlibat dalam pelbagai industri seperti aeroangkasa, automotif, elektronik dan elektrik, solar serta minyak dan gas," katanya ketika merasmikan Konvensyen Aspirasi Usahawan Muslim 2014 bertemakan 'Jutawan Muslim, Fikrah Mukmin: Dari Lokal ke Global', di sini Rabu.

Seramai 350 peserta menghadiri konvensyen sehari anjuran bersama Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) dan MIDA.

Ia julung kali diadakan bagi tujuan memberi pendedahan kepada usahawan berhubung maklumat terkini mengenai peluang pelaburan, bantuan kerajaan dan fasiliti yang ditawarkan untuk bersaing di pasaran global.

Amirsham berkata usahawan perlu meningkatkan kemahiran dalam pengurusan perniagaan dan pelaburan dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan keusahawanan serta menjalin kerjasama dengan perusahaan lain.

Katanya langkah itu supaya rantaian perniagaan mereka dapat diperluaskan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Presiden DPIM Tan Sri Muhammad Ali Hashim turut menggesa usahawan Bumiputera baharu berusaha meningkatkan kesedaran tentang inisiatif dan fasiliti yang disediakan kerajaan.

"Kita juga berharap badan-badan korporat usahawan muslim dapat sama-sama mendampingi usahawan baharu bagi membimbing serta memberi pendedahan dari segi pengalaman kepada mereka supaya operasi perniagaan dapat berjalan dengan stabil," katanya.

Mida

Artikel Sebelum

Artikel Lain