suria

Linde Lancar Pusat Operasi Jauh Kendali Gas

SHAH ALAM: Linde ROC Sdn Bhd, sebahagian daripada Linde Group of Germany, hari ini melancarkan pusat operasi jauhnya (ROC) di sini.

ROC itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia untuk mengendalikan operasi gas perindustrian di 55 loji di 10 negara.

Ia menggunakan teknologi dan amalan operasi terbaik dalam kelasnya untuk mengakses data dari jauh dan memantau pengasingan udara, karbon dioksida dan hidrogen Linde di loji-loji dari Pakistan di barat hingga ke Korea Selatan di timur.

Pengarah Linde ROC Wong Siew Yap berkata Greater Kuala Lumpur dipilih oleh Linde Group sebagai lokasi bagi ROC itu kerana ia memiliki ramai jurutera dan juruteknik berkemahiran tinggi.

"ROC itu merupakan penyelesaian terbaik untuk menyelaras dan mengoptimumkan operasi Linde di Asia bagi menampung pertumbuhan perniagaan di rantau ini," katanya pada majlis perasmian ROC itu oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, di sini, Selasa.

ROC itu yang juga direka bentuk bagi meningkatkan keselamatan, kecekapan dan produktiviti merupakan pusat kecemerlangan operasi dan teknikal perkongsian bagi unit perniagaan Linde yang merangkumi negara seperti Malaysia, Bangladesh, India, Indonesia dan Pakistan.

Wong berkata dengan teknologi kawalan proses, komputer dan komunikasi terbaik dalam kelasnya, pusat itu akan meningkatkan kecekapan loji dengan memastikan jaminan bekalan gas kepada pelanggan dan membantu mengurangkan kos dalam mengoptimumkan pengeluaran dan penggunaan tenaga di semua loji di rantau ini.

Beliau berkata Linde akan melabur lebih RM500 juta bagi tempoh lima tahun akan datang sebagai perbelanjaan modal untuk antara lainnya, membina lebih banyak loji di masa depan.

"ROC itu dijangka mengendalikan 75 loji pada akhir tahun dan 100 menjelang 2020," katanya.

Sementara itu, Mustapa dalam ucapannya pada majlis tersebut berkata ROC itu akan menjadi penanda aras baharu bagi sektor gas perindustrian di Malaysia.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata selepas majlis itu bahawa hasil dapatan kaji selidik menyeluruh oleh kerajaan tentang penyusutan nilai ringgit dijangka siap pada pertengahan Januari tahun depan.

Beliau berkata kaji selidik itu yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia merupakan satu proses rumit bagi membantu menentukan kesan penyusutan nilai ringgit ke atas bajet fiskal, pertumbuhan, import, eksport, inflasi, pelancongan, tenaga kerja dan lain-lain.

"Mereka (Bank Negara) sedang menilai beberapa angka dan melihat kepada unjuran kumpulan pemikir lain (mengenai penyusutan nilai ringgit)," katanya. 


Linde, Gas

Artikel Lain