suria

Felda Investment Corp Beli Hartanah Pertama Di London

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation (FIC), membeli Grand Plaza Kensington Hotel di London baru-baru ini, dalam usaha untuk mempelbagaikan aset pelaburannya.

Pengerusi Felda Group, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, pembelian itu membolehkan syarikat memaksimumkan pulangan pelaburannya bagi manfaat utama pihak-pihak berkepentingan.

"Ia merupakan pencapaian penting dalam sejarah syarikat sebagai batu loncatan pertamanya dalam mewujudkan jenama untuk Felda yang sebelum ini membeli Apartmen Berperkhidmatan Grand Plaza di Bayswater, kawasan tumpuan dalam kalangan rakyat Malaysia yang mengunjungi London.

"Apartmen Berperkhidmatan Grand Plaza sesuai bagi keluarga atau mereka yang melancong dalam kumpulan, manakala Grand Plaza Kensington bertujuan menarik  pengunjung yang mencari penginapan mewah tetapi berpatutan.

"Tambahan pula, hospitaliti Malaysia sangat sedikit dan kami yakin kami dapat menarik rakyat Malaysia dan warganegara lain untuk menetap dengan kami dengan menawarkan perkhidmatan terbaik dan makanan Malaysia yang lazat," katanya dalam kenyataan.

Pembelian hartanah London merupakan yang pertama bagi FIC dan kedua bagi Felda, menjadikan jumlah hotel dan resort yang dimiliki oleh agensi kerajaan itu kepada 12.

Terletak di lokasi yang strategik, Grand Plaza Kensington merupakan hotel empat bintang dengan 62 unit bilik dan dua unit apartmen berperkhidmatan tiga bilik, terletak di Lexham Gardens dalam kawasan eksklusif Kensington dan Chelsea.

Artikel Sebelum

Artikel Lain