suria

BSN Perkenal Perkhidmatan Baharu

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) meneruskan usahanya mendekati masyarakat dengan memperkenal satu perkhidmatan baharu iaitu pembukaan akaun simpanan untuk produk Giro dan Giro-I.

Dalam satu kenyataan pada Ahad, BSN berkata perkhidmatan baharu itu ditawarkan melalui lebih 5,200 rangkaian Ejen Bank Berdaftar (EB) di seluruh negara.

"Perkhidmatan baharu ini juga disediakan bagi menyokong saranan kerajaan yang menggalakkan bakal penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 4.0 mempunyai akaun simpanan.

Langkah ini sejajar dengan hasrat Bank Negara Malaysia untuk memperkukuhkan lagi agenda rangkuman kewangan di negara ini dan memastikan segenap lapisan masyarakat mendapat kemudahan kewangan yang berkualiti daripada institusi kewangan, katanya.

Untuk menikmati kemudahan ini, pelanggan hanya perlu hadir di mana-mana premis EB yang berhampiran dengan membawa bersama MyKad bagi tujuan pengesahan biometrik dan amaun simpanan permulaan adalah serendah RM20.

Perkhidmatan membuka akaun simpanan kini ditawarkan di semua EB BS Nmenggunakan terminal Point-of-Sale dan berhubung terus kepada sistem BSN bagi membenarkan transaksi dilakukan dalam talian secara masa nyata sepenuhnya tanpa memerlukan borang permohonan.

Sehingga Oktober lepas, BSN mempunyai lebih 8.5 juta pelanggan di seluruh negara dengan simpanan runcit berjumlah RM 12.86 bilion.

BSN

Artikel Lain