suria

Bank Berhati-Hati Ke Atas Kesan Kejatuhan Harga Minyak Terhadap Industri O & G

KUALA LUMPUR: Industri perbankan mengambil sikap berhati-hati ke atas kesan kejatuhan harga minyak terhadap sektor minyak dan gas (O&G) tahun depan, terutama ke atas pembiayaan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Bhd, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, kelembapan sektor (O&G) ketika ini telah menjejaskan keuntungan mereka.

"Saya berpendapat (dengan kejatuhan berterusan harga minyak) ia akan menjadi persekitaran yang sangat mencabar untuk kita.

"Kita berharap harga minyak akan stabil bagi menenangkan pasaran dan dengan harga minyak yang lebih rendah, ia akan membawa kepada harga barang dan perkhidmatan yang lebih stabil," katanya pada taklimat media selepas pelancaran Program Kembali Ke Sekolah di sini, Jumaat.

Mengenai kemerosotan ringgit, Mohd Redza Shah berkata ia tidak mempunyai kesan yang besar ke atas industri perbankan.

"Peningkatan atau kejatuhan pertukaran mata wang asing di kalangan bank di Malaysia adalah terkawal dan tidak akan menjejaskan bank," katanya.

Menurutnya, jika terdapat kejatuhan, ianya terhad dan minimum.

Mohd Redza Shah berkata, industri berkenaan mempunyai masa depan yang mencabar.

Katanya, bank berhasrat untuk melihat peningkatan 15 peratus dalam jumlah pendeposit individu pada 2015.

"Kini kita ada 700,000 pendeposit individu dengan simpanan RM5 bilion," katanya.

Program hari ini adalah untuk membantu 200 anak yatim mempersiapkan diri  untuk memasuki sekolah rendah dan menengah dengan sumbangan RM35,366.

Pelajar daripada tiga rumah anak yatim itu menerima peralatan sekolah seperti beg sekolah, alat tulis, kasut, sarung kaki dan buku latihan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain