suria

Kolaborasi FGV, SZAP China Teroka Peluang Perniagaan Komoditi

KUALA LUMPUR: Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) bakal memulakan langkah baharunya di China menerusi kolaborasi dengan syarikat perniagaan pertanian negara itu, Shenzhen Agricultural Products Co Ltd (SZAP).

SZAP memiliki perniagaan e-dagang dan perkhidmatan rangkaian bekalan produk pertanian di Shenzen.

Kerjasama strategik dengan SZAP membabitkan peluang perniagaan dalam pelbagai komoditi, termasuk getah dan minyak sawit.

"Sebagai negara kuasa perdagangan terbesar dunia, China terus menjadi destinasi pemasaran untuk FGV," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV,  Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah, dalam satu kenyataan, Khamis.

"Kami sememangnya berharap untuk bekerjasama dengan SZAP yang dapat membuka lebih banyak peluang bagi pengguna mendapatkan produk kami," katanya.

Bagi meningkatkan lagi aktiviti hilirannya, FGV sebelum ini menjalin usahasama bagi meneroka peluang dan operasi perniagaan di China.

"Menerusi anak syarikat, Felda Global Ventures Biotechnologies Sdn Bhd, kami melakukan penghantaran Palm Methyl Ester (PME) ke Pelabuhan Nansha di  Guangzhou, bagi memenuhi minat China terhadap tenaga boleh diperbaharui.

"Menerusi pelbagai peluang yang banyak, kami berharap dapat meneruskan kerjasama dengan rakan perniagaan yang mahu menjalin usahasama," kata Mohd Emir.

Malah, katanya, usaha FGV melebarkan sayap perniagaannya ke China adalah seiring kunjungan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke negara itu, baru-baru ini.

Ia bertujuan meningkatkan jalinan Malaysia-China dan sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$160 bilion (RM528 billion) menjelang 2017.

Langkah strategik FGV juga sebahagian daripada pelan jangka panjangnya selain mencapai wawasannya untuk muncul antara syarikat perniagaan pertanian global menjelang 2020.

Felda, komoditi, China, SZAP

Artikel Lain