suria

Syarikat Penerbangan Raih Untung US$25 Bilion Pada 2015

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan dijangka meraih keuntungan bersih global kolektif sebanyak US$25 bilion pada 2015 susulan penurunan harga minyak dan pengukuhan Keluaran Dalam Negara Kasar di seluruh dunia, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Dalam kenyataan pada Rabu, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya,Tony Tyler berkata prospek industri meningkat berikutan ekonomi global terus pulih dan kejatuhan harga minyak akan mengukuhkan peningkatan pada tahun depan.

"Selain kami menjangka syarikat menjana US$25 bilion pada 2015, penting untuk mengingati bahawa ini masih hanya 3.2 peratus margin keuntungan bersih.

"Industri sebahagian besarnya positif, bagaimanapun terdapat beberapa risiko dalam persekitaran global hari ini,  antaranya pergolakan politik, konflik,dan beberapa ekonomi serantau yang lemah," katanya.

Tyler berkata pelanggan akan meraih manfaat yang ketara daripada pengukuhan prestasi industri berikutan kos industri yang rendah. 

"Prestasi industri yang kukuh merupakan berita baik untuk semua. Ia merupakan industri yang sangat kompetitif dan pelanggan - pelancong sertasyarikat perkapalan -- menjangka kos yang lebih rendah pada 2015 berikutan kesan daripada penurunan harga minyak," katanya.

IATA berkata syarikat penerbangan dijangka mencatat keuntungan bersih global kolektif sebanyak US$19.9 bilion pada 2014, naik daripada US$18.0 bilion diunjurkan pada Jun.  

Syarikat penerbangan di rantau Asia Pasifik dijangka mencapai keuntungan bersih sebanyak US$5 bilion pada 2015, meningkat daripada US$3.5 bilion pada 2014, katanya. 

syarikat penerbangan untung

Artikel Lain