suria

Lima Inisiatif Diperkenal Bantu Kontraktor Tempatan Dalam Kerja Ubah Suai

Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) memperkenalkan lima inisiatif bagi membantu kontraktor tempatan memperluaskan peluang perniagaan dalam pelaksanaan kerja-kerja ubah suai di negara ini.

Ketika mengumumkannya, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, inisiatif menerusi Program Akreditasi Kontraktor Kerja Ubah Suai Kebangsaan CIDB (CNAR) itu termasuk mewujudkan pengkhususan baru pendaftaran kontraktor dengan CIDB iaitu kategori B28 bagi kerja ubah suai kediaman.

Inisiatif kedua, katanya, mensyaratkan pelantikan kontraktor berdaftar dengan CIDB di dalam permit ubah suai pihak berkuasa tempatan manakala ketiga, menerbitkan terma standard kontraktor pembinaan untuk kerja ubah suai dan projek-projek kecil.

Bagi inisiatif keempat, ia merangkumi usaha menerbitkan panduan ubah suai kediaman dan kelima, menerbitkan direktori kontraktor kerja ubah suai Bumiputera 2014/2015.

"Saya percaya dengan adanya inisiatif tersebut, penglibatan aktif kontraktor tidak berdaftar dan warga asing dapat dikurangkan.

"Ini kerana ia menyebabkan kerugian dan kecelaruan yang mana aspek keselamatan pekerja dan orang awam menjadi taruhan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemerkasaan Kontraktor Ubah Suai Bumiputera melalui CNAR di sini, Selasa.

Tegasnya, inisiatif itu juga memastikan kualiti kerja ubah suai dipertikai dapat dipantau sekali gus dapat mengekang aliran keluar tunai negara oleh pekerja warga asing.

Selain itu, pada majlis sama, satu perjanjian memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, CIDB dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.

Ia bertujuan menggalakkan kontraktor Bumiputera diakreditasikan sebagai kontraktor ubah suai seterusnya merebut peluang perniagaan dalam bidang ubah suai dalam negara.

Fadillah berkata, sehingga November 2014 seramai 3,905 kontraktor telah berdaftar dengan CIDB bagi kategori B28 yang merangkumi komposisi kontraktor G1 hingga G7.

Daripada jumlah itu, hampir 90 peratus merupakan kontraktor Bumiputera.

Tanpa bergantung kepada kontrak kerajaan, beliau turut menggesa kontraktor Bumiputera Gred G1 atau Kelas F yang merangkumi 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kontraktor berdaftar, untuk bergiat cergas dalam pasaran terbuka segmen ubah suai kediaman.


CIDB, kontraktor, Bumiputera

Artikel Lain