suria

Jumlah Pelaburan Diluluskan Mungkin Atasi Tahun Lepas - Mustapa

KUALA LUMPUR: Malaysia menjangkakan jumlah pelaburan diluluskan tahun ini mengatasi angka 2013 berikutan bilangan pelaburan dalam perancangan yang menggalakkan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagi tahun lepas, jumlah pelaburan mencecah RM219 bilion selain mewujudkan lebih 437,000 pekerjaan.

Menurut Mustapa, setakat September lepas, ada sebanyak 245 cadangan bagi projek pembuatan dan 171 projek perkhidmatan dengan pelaburannya bernilai hampir RM28 billion.

"Projek ini terutamanya dalam bidang kimia dan produk kimia, elektrik dan elektronik, penjagaan kesihatan, pendidikan, hospitaliti dan perkhidmatan berkaitan pembuatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media pada Isnin mengenai prestasi pelaburan di Malaysia bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Mustapa turut berkongsi pencapaian Malaysia mencatat pelaburan RM172.3 bilion dalam sektor perkhidmatan, perusahaan utama dan pembuatan iaitu meningkat 9.1 peratus berbanding RM158 bilion bagi tempoh sama, tahun lepas.

Katanya, sebahagian besar pelaburan itu daripada sumber tempatan iaitu sebanyak RM119.8 bilion atau 69.5 peratus manakala sumber asing RM52.5 bilion atau 30.5 peratus.

"Ini selaras sasaran Program Transformasi Ekonomi yang menyasarkan pelaburan langsung tempatan berbanding pelaburan langsung asing pada nisbah 73:27 menjelang 2020," katanya.

Mustapa berkata, sektor perkhidmatan adalah penyumbang terbesar dari aspek pelaburan, bilangan projek serta peluang pekerjaan dengan nilai sumbangan RM96.6 bilion berbanding RM104.6 bilion bagi tempoh sama tahun lepas.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus meneroka potensi perkhidmatan berintensif pengetahuan.

"Ini termasuk sektor yang kurang dimajukan dan sektor kecil lain seperti penyenggaraan, pembaikan dan membaik pulih selain perkhidmatan minyak dan gas," katanya.

Beliau berkata, nilai pelaburan diluluskan bagi sektor pembuatan adalah satu rekod iaitu RM63.5 bilion yang mana 55.1 peratus daripada sumber asing manakala tempatan sebanyak 44.9 peratus.

"Ini jelas memaparkan daya saing Malaysia sebagai lokasi pilihan bagi kegiatan pembuatan nilai tambah tinggi di rantau ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata daripada 619 projek diluluskan, Johor mencatatkan jumlah pelaburan tertinggi iaitu RM20.1 bilion diikuti Sarawak (RM10 bilion), Pulau Pinang (RM6 bilion), Selangor (RM5.7 bilion) dan Pahang (RM5 bilion).

Menurutnya, sumber utama pelaburan asing bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini adalah Jepun, Singapura, China, Jerman dan Korea Selatan.

"Projek pembuatan yang diluluskan akan mewujudkan 65,400 pekerjaan yang mana 84.7 peratus adalah berkemahiran tinggi," katanya.

Mustapa berkata, sektor perusahaan utama mencatatkan jumlah RM12.2 bilion berbanding RM18.4 bilion bagi tempoh sama, tahun lepas.

"Pada masa ini sektor berkenaan mencatatkan prestasi baik di Johor, terutamanya Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia Petronas di Pengerang," katanya.

Artikel Lain