suria

Sekatan Dagangan AEC Perlu Dimansuh - Pakar Ekonomi

KUALA LUMPUR: Masalah sekatan seperti kuota, prosedur kastam serta perbezaan standard atau peraturan perlu dimansuh dan dilihat sukar dilaksanakan dalam konteks pembentukan Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

Ketua Pakar Ekonomi Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW), Douglas McWilliams, berkata ini penting kerana AEC menyediakan peluang bagi pertumbuhan lebih kukuh selain meningkatkan keseimbangan perdagangan intra-Asean.

"Proses integrasi ekonomi di Asean meningkat pada 1992 selepas anggotanya berikrar membentuk satu kawasan perdagangan bebas. Ia terbukti tujuh tahun lalu apabila mereka bersetuju menghapuskan tarif sepenuhnya menjelang 2015.

"Bagaimanapun, perdagangan bebas antara negara memerlukan lebih daripada sekadar penurunan tarif. Kekangan lain juga harus dimansuh dan ini sukar dilakukan," katanya.

McWilliams yang juga Pengerusi Eksekutif Centre for Economics and Business Research Ltd (CEBR), berkata demikian pada satu taklimat media bertajuk "Apa kesannya pembentukan AEC kepada Malaysia" di sini, Rabu.

Menurutnya, integrasi ekonomi Asean bukan sekadar memberi lonjakan kecil terhadap rantau ini, tetapi berkembang dan memanfaatkan proses pengindustrian secara keseluruhannya yang disifatkannya lebih pantas berbanding di Eropah.

"Jika Asean boleh menyempurnakan integrasi ini dalam tempoh lebih singkat berbanding Kesatuan Eropan (EU), maka selain pertumbuhan empat peratus dalam masa 30 tahun (di EU), pencapaian sama mungkin diraih dalam tempoh tujuh setengah tahun bagi Asean.

"Nilai itu secara anggarannya, adalah lonjakan kira-kira separuh peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun," katanya.

McWilliams turut mengingatkan, selain kawasan perdagangan bebas, sasaran utama lain yang harus dicapai adalah pembentukan satu pasaran bersama bagi membolehkan modal serta tenaga kerja bergerak bebas merentasi sempadan.

"Biarpun Asean sudah membuktikan peningkatan kebebasan antara serantau dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI) intra-Asean meningkat daripada 13 peratus pada 2000 kepada 17 peratus pada 2013 dari segi jumlah keseluruhan FDI dalam negara, satu kerangka perbankan dan undang-undang seragam boleh meningkatkan skala pelaburan," katanya.

Menurutnya, selain itu, mobiliti lebih baik juga perlu bagi membolehkan pergerakan pekerja di kawasan permintaan tinggi serta perpindahan kemahiran.

Berdasarkan laporan unjuran terkini ICAEW, eksport intra-Asean di Malaysia merangkumi 27.3 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada 2013.


AEC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain