suria

Pesawat A330 MAS Dilengkapi Aplikasi Airbus Flysmart & Lufthansa Systems Di iPad

KUALA LUMPUR: Kesemua pesawat A330 Penerbangan Malaysia (MAS) kini dilengkapi kemudahan iPad Air Apple dengan carta navigasi elektronik daripada Lufthansa Systems serta aplikasi gabungan Airbus Flysmart.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Isnin, berkata, langkah tersebut akan membuka jalan bagi penyelesaian tanpa kertas dengan proses membantu meningkatkan keberkesanan operasi serta keselamatan penerbangan.

Maklumat elektronik secara interaktif itu mengandungi kesemua laluan penerbangan dan lapangan terbang, dibuat dengan cara yang mudah untuk juruterbang, daripada perlepasan hingga pendaratan, katanya.

Pengarah Operasi Kapten Izham Ismail berkata aplikasi sistem itu akan membolehkan persediaan penerbangan yang lebih mudah tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

"MAS menjadi pelopor di Asia Pasifik dalam menyediakan penyelesaian elektronik dalam dek penerbangan.

"Adalah penting bagi kami memanfaatkan teknologi semasa dan inovasi untuk meningkatkan kesedaran keadaan juruterbang kami," katanya.

Menurut MAS, aplikasi itu membolehkan akses yang lebih baik bagi juruterbang dan perolehan maklumat penerbangan dengan lebih cepat.

"Dokumen boleh didapati secara elektronik dan lebih mudah berbanding mencari maklumat tertentu dalam manual penerbangan yang tebal," katanya.

Selain itu, syarikat penerbangan juga mendapat manfaat daripada peningkatan keselamatan disebabkan persediaan anak kapal yang dipermudahkan serta bertambahnya kesedaran terhadap persekitaran.


MAS, Ipad, navigasi, A330

Artikel Lain