suria

SapuraKencana Petroleum Sasar Sahamnya Patuh Syariah

KUALA LUMPUR: SapuraKencana Petroleum Bhd sedang dan sudah mengambil langkah bagi memastikan sahamnya patuh Syariah, seperti ditetapkan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menjelang tahun kewangan berakhir 31 Jan, 2015, kata sumber-sumber rapat dengan perkara itu pada Jumaat.

Berikutan langkah-langkah yang akan diambil itu, syarikat berkenaan menyasarkan dapat disenaraikan semula dalam senarai kemas kini syarikat patuh Syariah SC yang akan diterbitkan selepas penilaian akan datang pada Mei 2015.

Hari ini, syarikat itu tidak disenaraikan dalam senarai patuh Syariah SC yang didagangkan di Bursa Malaysia seperti dipaparkan di laman web suruhanjaya itu.

Pihak SC memutuskan sama ada saham yang disenaraikan itu patuh Syariah atau sebaliknya berdasarkan pengiraan audit terakhir akaun pada 31 Jan, 2014.SapuraKencana dikeluarkan daripada senarai saham itu berikutan salah satu daripada tiga syarat pematuhan itu menetapkan hutang konvensional tidak boleh melebihi dua pertiga daripada jumlah keseluruhan aset syarikat.

"Keseluruhan pinjamannya adalah hutang konvensional kerana bank-bank Malaysia tidak mempunyai jumlah besar produk Islam dalam dolar US/had bagi menyokong pinjaman syarikat itu. Perkara ini sudah pun dijelaskan kepada SC oleh bank-bank utama yang memberi pinjaman kepada syarikat berkenaan.

"Oleh itu syarikat telah bekerjasama dengan bank-bank terbabit sejak kira-kira enam bulan lalu mengenai perkara ini. Kesemua 14 bank itu termasuk sembilan bank asing, telah memberi sokongan dan mendapatkan kelulusan dalaman untuk menukar bahagian yang diperlukan kepada pinjaman yang patuh Syariah," kata sumber-sumber itu.

Langkah bagi memuktamadkan perkara itu dijangka dapat diselesaikan SapuraKencana sebelum berakhirnya tahun kewangan pada 31 Jan, 2015 iaitu dalam bulan depan atau seterusnya.

Sehubungan itu, SapuraKencana dijangka dapat disenaraikan semula dalam senarai patuh Syariah SC yang akan dikemaskini pada Mei 2015.

SapuraKencana, Petroleum

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain