BNM Perkenal Langkah Percepat Malaysia Beralih Kepada E-Bayaran

Diterbitkan: Khamis, 27 November 2014 2:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia akan memperkenalkan enam langkah strategik untuk mempercepatkan proses perpindahan negara ke dalam sistem e-bayaran selain untuk mengurangkan penggunaan tunai dan cek dalam sistem kewangan.

Timbalan Gabenor BNM Datuk Muhammad Ibrahim berkata sebanyak 50,000 terminal tempat jualan tambahan akan dipasang pada 2015, khususnya untuk peniaga peringkat bawah bagi menggalakkan penggunaan kad debit dalam kalangan pengguna.

"Kita juga perlu memperluaskan dan menggandakan usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran ke atas langkah keselamatan asas bagi mengatasi penipuan pembayaran seperti yang yang terbaru, "Kempen Fikirkan Keselamatan dalam Talian, Fikir C.A.R.D," katanya pada Pameran dan Forum Sistem Bayaran 2014 di sini, Khamis.

Industri juga perlu memastikan perlaksanaan JomPAY pada masa yang sesuai. JomPAY, skim pembayaran bil kebangsaan dalam talian yang akan diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan dan kemudahan pembayaran bil untuk para pengguna dan perniagaan di seluruh negara, katanya.

"Keempat, institusi perbankan perlu membuat penilaian yang berterusan ke atas kemantapan dan kesesuaian langkah-langkah pengurusan risiko sistem pembayaran dan keberkesanan langkah-langkah perlindungan ke atas pengguna," kata Muhammad.

Beliau berkata industri juga perlu memberi maklumat terkini kepada pelanggan mengenai prosedur penyelesaian terutama ketika wujud senario pemalsuan, dan akhir sekali, meningkatkan usaha untuk mengekalkan keyakinan dan kepercayaan orang ramai.

Sementara itu, Muhammad berkata dengan 45 juta kad debit untuk penduduk seramai 30 juta, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk berhijrah daripada kebergantungan yang tinggi terhadap tunai kepada kad debit yang lebih kos efektif.

"Penggunaan kad debit yang meluas akan membantu mengurangkan kos pembayaran runcit negara ini dan menyumbang kepada simpanan dan kecekapan yang lebih baik," katanya.

Katanya, berdasarkan satu kajian yang dijalankan oleh bank pusat, jumlah keseluruhan yang ditanggung oleh industri perbankan, komuniti perniagaan dan BNM dalam pengurusan dan pengendalian tunai, dianggarkan sekitar RM4.8 bilion dalam 2012.

Muhammad berkata ini telah mengenakan kos yang tidak perlu ke atas ekonomi kerana tunai merupakan instrumen pembayaran yang mahal.

Tags / Kata Kunci: BNM , E-Bayaran

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan