suria

Boeing Hantar Pesawat Rondaan Maritim India

NEW DELHI: Boeing berjaya menyampaikan pesawat rondaan maritim P-8I keenam ke India, menepati jadual pada 24 Nov, dan tiba untuk menyertai lima unit yang sama di Stesen Udara Tentera Laut Rajali.

Pesawat ini merupakan sebahagian daripada lapan yang dipersetujui dalam satu kontrak pada 2009, dua lagi yang terakhir akan tiba pada 2015.

"Kedatangan P-8I ke India merupakan satu pencapaian utama untuk program tersebut dan menandakan penghantaran terakhir kami untuk tahun ini," kata Naib Presiden Boeing untuk Pertahanan, Angkasa dan Keselamatan di India, Dennis Swanson dalam satu kenyataan dari Seattle pada Rabu.

Lima pesawat awal yang diterima itu sedang terlibat dengan rondaan Tentera Laut India dan P-8I yang terbaru ini akan menjalani penerbangan ujian dalam bulan akan datang.

P-8I yang direka didasarkan kepada pesawat komersial 737 generasi akan datang, merupakan variasi Tentera Laut India, Tentera Laut Amerika Syarikat menggunakan pesawat yang sama tetapi dikenali sebagai P-8A Poseidon.

P-8I India ini mempunyai ciri-ciri yang unik yang terdiri daripada sub-sistem buatan India yang dibina bagi memenuhi keperluan rondaan maritimnya, kata Boeing.

P-8I mempunyai sistem yang terbuka, sensor termaju dan teknologi paparan serta sokongan pembekal, peralatan sokongan dan alat ganti dari seluruh dunia.

"Kami mempunyai perkongsian yang cukup hebat dengan India, yang mana, ini membantu kami menjaga program ini mengikut jadual dan bajet" kata Pengurus Program Antarabangsa Boeing P-8, Mark Jordan.

Untuk mendapatkan reka bentuk yang berkesan bagi membina P-8I dan P-8A, pasukan yang diterajui Boeing ini menggunakan proses pengeluaran dalam talian, yang pertama dalam industri ini yang dibuat berdasarkan sistem pengeluaran pesawat generasi akan datang 737 syarikat itu.

Pesawat P-8I dibina oleh pasukan industri yang diterajui Boeing dan terdiri daripada CFM International, Northrop Grumman, Raytheon, Spirit AeroSystems, BAE Systems dan GE Aviation.

Boeing Defence, Space & Security merupakan anak syarikat Boeing Company. Ia adalah sebuah syarikat pertahanan, angkasa dan keselamatan yang terbesar di dunia serta memiliki kepakaran khusus dalam memenuhi permintaan pelanggan yang mahu penyelesaian yang inovatif, ia juga merupakan pembuat pesawat tentera yang terbesar dan serba guna di dunia.

Boeing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain