suria

BSN Sasar Lebih Banyak Ejen Bank

SEREMBAN: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasarkan untuk membuka lebih banyak perkhidmatan ejen bank berdaftarnya di seluruh negara pada masa depan berikutan sambutan menggalakkan terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Jabatan Pengurusan Saluran BSN, Azlan Abu Bakar berkata, ia bagaimanapun bergantung kepada dasar Bank Negara dan keperluan Kementerian Kewangan.

Ejen bank berdaftar BSN disediakan di premis perniagaan termasuk kedai runcit, kedai komputer, koperasi.

"Kita bukan sahaja mempunyai 401 cawangan tetapi turut disokong lebih 5,200 ejen bank berdaftar di seluruh negara. Oleh itu, kita perlu kaji semula kesesuaian membuka cawangan kerana kemudahan itu sudah ada di segenap pelusuk negara.

"Ejen kita ini berperanan sama seperti bank iaitu pelanggan boleh membuat pengeluaran dan menyimpan wang, membeli Simpanan Sijil Premium dan sebagainya.

"Oleh itu, kita berasakan mereka boleh berperanan secara amnya sebagai ejen BSN," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas majlis perasmian pengoperasian semula cawangan BSN Ampangan oleh Ketua Eksekutif BSN, Datuk Adinan Maning, di sini, Jumaat.

Mengenai rancangan pembukaan cawangan baru BSN di seluruh negara, Azlan menegaskan ia mengikut keperluan semasa dan perniagaan.

"Perancangan kita adalah berdasarkan unjuran iaitu pertumbuhan cawangan sebanyak 20 peratus," katanya.

Menurutnya, walaupun BSN sebuah bank komuniti tetapi perkhidmatan dan produknya setanding tetap bank-bank komersil.

"Kita sentiasa membuat penambahbaikan seperti perkhidmatan termasuklah aspek konsep cawangan," katanya.

Selain itu, Azlan berkata BSN akan melancarkan produk (perkhidmatan) baharu pada bulan ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperincinya.

BSN mempunyai lebih 6,900 orang pekerja, 401 cawangan, 885 mesin pengeluaran wang automatik (ATM), 357 mesin deposit tunai (CDM) dan lebih 5,200 ejen bank berdaftar di seluruh negara.

Ia mempunyai lebih 8.5 juta pelanggan di seluruh negara dengan simpanan runcit sebanyak RM12.91 bilion sehingga Ogos 2014. 


BSN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain