Wakaf Ekonomi: Projek Kerjasama YWM & Majlis Agama Negeri - Niaga | mStar

Wakaf Ekonomi: Projek Kerjasama YWM & Majlis Agama Negeri

Diterbitkan: Selasa, 18 November 2014 7:37 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) akan bekerjasama dengan Majlis Agama Islam negeri bagi melaksanakan wakaf ekonomi dalam usahanya memperkasa dan meningkatkan sosio ekonomi umat Islam di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Profesor Datuk Dr Sudin Haron berkata, menerusi wakaf ekonomi, orang ramai boleh melibatkan diri dengan membiayai sesebuah projek ekonomi yang hendak dibangunkan.

Beliau berkata, wakaf ekonomi merupakan inisiatif terbaharu bagi memperkasakan ummah berbanding wakaf agama dan sosial sebelum ini seperti pembinaan masjid dan surau serta penyediaan mesin dialisis bagi golongan kurang berkemampuan.

"Sebagai contoh, Majlis Agama Islam negeri hendak membina sebuah kilang makanan bernilai RM1 juta, maka orang ramai boleh berwakaf bagi tujuan pembinaan dan keperluan modal kerja kilang berkenaan.

"Antara manfaat menerusi wakaf ekonomi ini termasuk mendapat peluang pekerjaan dan sekali gus dapat membangun dan meningkatkan ekonomi umat Islam di negara ini," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pembudayaan Wakaf peringkat negeri, di sini, Selasa.

Turut hadir Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) Mohd Noh Ibrahim.

Sudin berkata, pembinaan bangunan rumah kedai di Nusajaya yang dilaksanakan oleh MAIJ merupakan salah satu contoh terbaik pelaksanaan konsep wakaf ekonomi dan ia wajar diikuti oleh negeri lain.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar wakaf ekonomi ini mendapat sambutan daripada orang ramai yang ingin berwakaf kerana ia memberi manfaat yang besar khususnya kepada pembangunan ekonomi umat Islam di negara ini.

Sementara itu, Sudin berkata, pihaknya akan mengadakan projek wakaf dialisis bagi membantu pesakit buah pinggang di negeri ini.

Beliau berkata, sebanyak 100 unit mesin diperlukan bagi tujuan itu dan pihaknya yakin keperluan itu dapat dipenuhi dalam tempoh dua tahun.

"Projek ini dilaksanakan berikutan jumlah pesakit buah pinggang yang makin meningkat dan memerlukan rawatan dialisis.

"Kos rawatan pula bukanlah murah dan dianggarkan berjumlah antara RM2,500 hingga RM3,000. Jadi, peralatan yang diwakafkan itu sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan pesakit itu," katanya sambil menambah projek wakaf dialisis akan bermula tahun hadapan.

YWM merupakan sebuah entiti wakaf kebangsaan yang berperanan menggembleng sumber wakaf dan menjadi pelengkap kepada usaha majlis-majlis agama Islam negeri dalam membangunkan hartanah wakaf di Malaysia. 


Tags / Kata Kunci: wakaf ekonomi , Yayasan Wakaf , dialisis
   

iklan

Video

Selasa, 17 Julai 2018 6:18 PM

'Penyamun terbang' maut dalam kereta curi

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Kolumnis

iklan

Iklan