i-Park Semakin Dapat Pengiktirafan Di Iskandar Malaysia

Diterbitkan: Selasa, 18 November 2014 8:52 PM

La Brooy(dua, kiri) bersama Pengerusi Beyonics Technology LTD Kyle Shaw (dua, kanan), Michael Ng (kanan) dan Pengarah Eksekutif Axis AME Ip Sdn Bhd Kelvin Lee ketika gimik majlis pecah tanah Beyonics Technology Campus di I-Park Indahpura di sini, Selasa.

(Ubah saiz teks)

KULAIJAYA: i-Park, taman perindustrian seluas 93.08 hektar bernilai RM1.2 bilion yang terletak di Perbandaran Indahpura, semakin mendapat pengiktirafan di Iskandar Malaysia.

Pembangunan pegangan bebas yang dimajukan secara usaha sama antara Axis Group (Axis) dan AME Group (AME) itu berjaya menarik minat banyak syarikat multinasional utama dan perusahaan kecil dan sederhana dari Singapura, Jepun, Switzerland, Jerman, Denmark, Belanda, Amerika Syarikat dan Australia.

Syarikat terbaharu yang menyertai taman perindustrian itu ialah Beyonics Technology Ltd, pengeluar kontrak produk elektronik berprestasi tinggi, plastik kejituan tinggi dan komponen logam yang berpangkalan di Singapura.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis pecah tanah kilang Beyonics di taman itu pada Selasa, Pengarah Eksekutif Axis Datuk Stewart LaBrooy berkata, Fasa 3a i-Park, yang menampilkan SME City seluas 16.19 hektar, bersama Fasa 1 dan 2, telahpun habis dijual.

"Kerja-kerja bagi Fasa 3 bermula pada November 2012 dan kelulusan diperoleh pada Mac tahun berikutnya manakala Fasa 3b dan Fasa 3c i-Park seluas 32.37 hektar terdiri daripada lot lebih besar dengan pilihan 'bina untuk pajak/jual' bagi pembuatan lebih besar dan perniagaan logistik/rumah gudang yang mahu berpindah ke sini," katanya.

LaBrooy berkata, i-Park merupakan taman perindustrian yang diilhamkan dengan teliti oleh pemaju perindustrian khusus yang menerapkan pelbagai idea terbaik yang terdapat di seluruh dunia.

"Ia merupakan taman sedia penyewa pertama dengan prasarana lengkap sebelum pembinaan bermula lagi, dan tahap sokongan teknikal dan kepakaran tinggi yang dibawa oleh pasukan AME kepada projek itu memastikan syarikat seperti Beyonics tidak perlu risau menghadapi sebarang masalah kelewatan serahan," katanya.

Pembinaan kilang Beyonics telah bermula dan dijangka siap pada Jun tahun depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Beyonics, Michael Ng dalam ucapannya berkata, syarikat itu berpindah ke i-Park untuk mengembang dan menaik taraf keupayaan pembuatan bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya.

Menyifatkan i-Park sebagai tapak perindustrian terbaik dari segi kecekapan, reka bentuk bangunan, akses mudah ke lebuh raya terdekat dan hubungan pelabuhan serta ruang berlebihan tambahan, Ng berkata pelaburan itu merupakan petunjuk jelas komitmen dan visi syarikat bagi masa depan.

Selain daripada gas, air, kuasa dan penyediaan jalur lebar, i-Park mempunyai ciri-ciri tambahan persekitaran yang berpagar dengan kawalan keselamatan, landskap menarik dan kemudahan pekerja yang banyak dan moden. 


Tags / Kata Kunci: i-park , Iskandar Malaysia , Axis Group

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan