suria

Huntsman Akan Labur RM275 Juta Bagi Operasi Kilang Di Terengganu

PETALING JAYA: Syarikat pengeluar dan pemasaran global pelbagai produk kimia, Huntsman Corp, akan melabur RM275 juta bagi pemodenan operasi kilang penghasilan titanium dioksida miliknya di Kemaman, Terengganu.

Presiden Bahagian Kesan Tekstil Huntsman, Paul Helme berkata, pelaburan itu adalah sebahagian peruntukan tambahan kepada modal awal RM1.4 bilion yang dilaburkan sewaktu pembinaan kilang berkenaan pada 1992.

"Pelaburan itu termasuk memperkenalkan teknologi baharu penjimatan tenaga yang boleh menyumbang kepada model perniagaan sifar pembaziran.

"Kami melihat potensi pertumbuhan, baik untuk syarikat mahu pun negara ini yang disumbangkan prasarana serba kukuh, sokongan, kecanggihan teknologi serta tenaga kerja yang ramai," katanya pada taklimat media di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian pejabat syarikat itu di Malaysia yang disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria.

Pejabat bernilai RM7 juta yang dikenali Global Business Centre itu menempatkan 200 pekerja perkhidmatan perkongsian perakaunan, teknologi maklumat (IT), audit dalaman dan unit perbendaharaan Huntsman.

Hulme berkata, pejabat itu menjadi hab utama IT syarikat selain pusat perkongsian perkhidmatan perakaunan.

Sementara itu, Rebecca menyifatkan minat Huntsman memperluas dan meneroka peluang pelaburan baru di Malaysia sebagai bukti jelas terhadap kemantapan prasarana Malaysia yang menyamai negara membangun lain di Asia Tenggara.

"Malaysia adalah antara negara berteknologi maju di rantau ini yang memiliki kemudahan prasarana bagi menepati kehendak komuniti perniagaan antarabangsa serta syarikat asing yang berhasrat membuka hab global mereka di sini," katanya.

Huntsman, Terengganu, Paul Helme

Artikel Lain