Kerajaan Akan Buka Tender Projek Lebuh Raya Pan Borneo

Diterbitkan: Isnin, 17 November 2014 2:47 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membuka tender bagi pembinaan Lebuh Raya Pan-Borneo agar projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh masa yang lebih singkat.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata ini kerana sekiranya projek tersebut dilaksanakan secara konvensional menerusi peruntukan rancangan lima tahun kerajaan, projek tersebut hanya akan dapat disiapkan pada tahun 2025.

"Ini membolehkan masyarakat dapat menikmati kemudahan jauh lebih awal daripada yang dijangkakan dan mencetuskan pembangunan dalam bidang sosioekonomi di Sabah," katanya.

Beliau berkata dmeikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Sze Phin (DAP-Kota Kinabalu) di persidangan Dewan Rakyat hari ini yang ingin tahu kenapa rakyat Sabah tidak diberi tender dalam pembinaan projek tersebut.

Beliau berkata pada masa ini rundingan awal dengan pihak swasta yang berminat untuk melakasanakan projek itu telah dibuat namun maklumat mengenai pembida terlibat dan kaedah pelaksanaannya tidak dapat diumumkan kerana proses rundingan masih berada pada peringkat awal.

Sementara itu, menjawab soalan asal Wong yang ingin tahu status terkini pembinaan Lebuh Raya Pan-Borneo, beliau berkata setakat ini kerajaan telah meluluskan empat projek baru yang sedang dilaksanakan secara konvensional mulai tahun 2013 melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM647 juta.

Antara projek itu ialah menaik taraf Jalan Donggongon ke Simpang Papar Spur sejauh 13.7 kilometer (km) dengan anggaran kos RM233 juta dan menaik taraf jalan Petagas ke Lok Kawi dengan jarak enam km membabitkan kos sebanyak RM136 juta.

"Selain itu, menaik taraf jalan Tawau-Semporna dari persimpangan Lapangan Terbang Tawau ke Pekan Semporna Fasa 1 (15km) dengan anggaran kos RM170 juta serta menaik taraf Jalan Segama Lahad Datu Fasa 1 (5.6km) anggaran kos RM108 juta," katanya.

Tags / Kata Kunci: Pan Borneo , Menteri Kerja Raya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan