suria

TH Sasar Lebih RM60 Bilion Nilai Simpanan Pendeposit Pada 2015

KUALA LUMPUR:Tabung Haji (TH) menyasarkan nilai simpanan pendepositnya akan meningkat melebihi RM60 bilion menjelang akhir tahun depan.

Ketua Pegawai Pelaburan TH, Abdul Kadir Sahlan berkata sehingga kini, nilai simpanan deposit TH adalah sebanyak RM52 bilion dan dijangka terus meningkat sehingga RM52.5 bilion menjelang akhir tahun ini.

"Secara purata jumlah simpanan pendeposit TH akan meningkat sebanyak 17 peratus setiap tahun," katanya ketika ditemui media di Majlis Penyampaian Sumbangan Program Iqra TH 2014 Peringkat Wilayah Persekutuan, di SK Setapak Indah di sini, Khamis.

Abdul Kadir mewakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail.

Katanya, sehingga 31 Oktober lepas, TH mempunyai seramai 8.56 juta pendeposit dengan bilangan pendeposit baharu pada tahun ini seramai 395,455 orang.

Dalam pada itu, Abdul Katir berkata bagi tahun depan TH masih menumpukan aspek pelaburan dalam sektor hartanah, perladangan dan ekuiti.

Sementara itu, melalui projek Iqra', TH pada hari ini menyampaikan agihan zakat pendidikan bernilai RM235,000 kepada 470 pelajar daripada 30 sekolah di sekitar Wilayah Persektuan.

Zakat pendidikan sebanyak RM500 bagi setiap pelajar itu berupa kelengkapan sekolah bernilai RM200 dan wang tunai RM300.

Wilayah Persekutuan merupakan lokasi ketujuh menerima zakat pendidikan itu dan akan disusuli negeri-negeri lain termasuk Sabah dan Sarawak.

Projek Iqra' adalah antara program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TH bagi kalangan pelajar kurang bernasib baik dan kurang berkemampuan.

Pada tahun ini TH mengagihkan zakat pendidikan berjumlah RM2.3 juta kepada 4,530 pelajar daripada 194 sekolah di seluruh negara.


TH, pendeposit, Ismee Ismail

Artikel Lain