Johor Bentang Bajet Lebihan Empat Tahun Berturut-turut

Diterbitkan: Khamis, 13 November 2014 3:48 PM

Mohamed Khaled Nordin

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHARU: Buat empat tahun berturut-turut sejak 2012, Kerajaan Johor membentangkan Bajet 2015 dengan lebihan apabila kutipan hasil melebihi perbelanjaan mengurusnya.


Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kutipan hasil adalah RM 1.239 bilion berbanding perbelanjaan mengurus RM1.235 bilion dengan lebihan yang dicatatkan sebanyak RM3.82 juta.

"Daripada segi kutipan hasil, hasil cukai dianggarkan sebanyak RM425 juta, hasil bukan cukai RM607 juta dan terimaan RM205 juta," kata beliau ketika membentangkan Bajet Johor 2015 di Dewan Undangan Negeri, Kota Iskandar dekat Nusajaya, Khamis.

Di bawah Peruntukan Mengurus katanya, sejumlah RM384 juta diperuntukkan bagi Emolumen, RM307 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM494 juta untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, manakala RM21 juta disediakan untuk Pembelian Aset dan RM28 juta untuk perbelanjaan lain.

Perbelanjaan Pembangunan pada tahun depan, menurut Mohamed Khaled, adalah sebanyak RM366 juta dengan RM260 juta untuk Perbelanjaan Infrastruktur dan Kemudahan Pentadbiran, RM39 juta untuk Pembangunan Agama Islam dan RM20 juta program Pertanian dan Kemudahan Asas.

Kerajaan negeri menerusi Perbelanjaan Pembangunan katanya, juga menyediakan RM31 juta bagi projek Pengairan dan Saliran, RM2 juta bagi perumahan dan RM12 juta untuk Perhutanan dan Pelancongan.

Mengenai prestasi ekonomi negeri katanya, Johor mencatat pertumbuhan ekonomi 4.9 peratus tahun lepas melebihi kadar pertumbuhan nasional sebanyak 4.7 peratus.

"Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bagi tahun 2013, Johor menjadi antara penyumbang utama kepada momentum pertumbuhan nasional selain Lembah Klang, " katanya.

Bagi keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Johor tahun lepas, ia telah merekodkan nilai sebanyak RM72.28 bilion yang secara konsisten didominasi oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, katanya.

Beliau berkata pada tahun ini, KDNK Johor dijangka mampu mencapai pertumbuhan antara 5.6 peratus hingga 6.1 peratus.

Pertumbuhan tinggi KDNK negeri itu katanya, didokong oleh pelaburan tinggi tahun lepas dengan sektor pembuatan mencatat pelaburan tertinggi mencecah RM18. 7 bilion sehingga Julai tahun ini, mengatasi nilai pelaburan tahun lepas sebanyak RM14.4 bilion.

Daripada RM18.7 bilion itu, kata beliau, sebanyak RM12.7 bilion merupakan pelaburan langsung tempatan dan RM5.9 bilion adalah pelaburan langsung asing.

Peningkatan pelaburan itu merupakan penerimaan pelaburan yang tertinggi yang belum dicapai pada tahun-tahun sebelumnya dan ini memberi keyakinan Johor mempunyai kekuatan dalaman dan tidak bergantung kepada pelaburan asing sahaja, kata beliau.

Bagi memastikan prestasi pembangunan ekonomi negeri kekal berdaya maju kata Mohamed Khaled, kerajaan negeri kini di peringkat akhir penyediaan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor.

Pelan itu katanya, turut mengambil kira perancangan terkini yang dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Pihak Berkuasa Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bagi memastikan pembangunan yang lebih menyeluruh dan memanafaatkan lebih ramai rakyat Johor.


Tags / Kata Kunci: bajet , Johor , Mohamed Khaled Nordin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan