suria

MPC Komited Pacu IKS Menggunakan TRIZ

KEPALA BATAS: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) komited untuk memacu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan memanfaatkan Teori Penyelesaian Masalah Secara Inventif (TRIZ).

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Razali Hussain berkata TRIZ, yang mula diperkenalkan di negara ini tahun lepas, terbukti mampu memaksimumkan potensi individu, pekerja dan organisasi ke arah sektor industri yang lebih kompetitif.

"MPC komited untuk melaksanakan TRIZ dan memastikan ia disampaikan kepada semua industri terutama IKS untuk berkongsi teori serta mempercepatkan penyebaran pengetahuan TRIZ.

"Kami percaya TRIZ mampu menggerakkan sektor IKS dalam usaha mengubah Malaysia menjadi sebuah negara maju di samping meningkatkan produktiviti ke paras lebih tinggi kerana ia adalah instrumen terbaik bagi menyelesaikan masalah dengan cara berstruktur," katanya selepas merasmikan Pesta Triz di MPC Wilayah Utara, di sini, Selasa.

Beliau berkata MPC akan mengesan syarikat yang telah mempraktikkan TRIZ dan mengumpulkan mereka dalam seminar atau bengkel kerja bagi memastikan pelaksanaan TRIZ di Malaysia dapat diperluaskan.

Mohd Razali berkata sehingga kini terdapat lebih 600 pekerja yang telah dilatih menggunakan kaedah itu.

"Harapan MPC adalah membentuk satu komuniti TRIZ di seluruh negara dengan menjadikan MPC Wilayah Utara sebagai Pusat Kecemerlangan yang memberi fokus kepada kolaborasi, koordinasi, komunikasi dan kecekapan seluruh warga organisasi.

"MPC Wilayah Utara juga mewujudkan bilik perbincangan TRIZ yang dilengkapi bahan bacaan seperti buku, jurnal dan poster maklumat mengenai TRIZ," katanya.

Kaedah TRIZ digunakan dengan meluas oleh syarikat antarabangsa seperti Ford, Daimler-Chrysler, Johnson and Johnson, syarikat aeronautik seperti Boeing, dan syarikat teknologi seperti Motorola, General Electric, IBM dan Samsung.


MPC, TRIZ

Artikel Berikut

Artikel Lain