suria

Penswastaan MAS Perlu Dilaksanakan - Maybank IB

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) akan diswastakan dan ia perlu dilaksanakan, kata Maybank Investment Banking (IB) Research.

Dalam satu kenyataan, Maybank IB berkata lebih 90 peratus undi dalam tangan, Khazanah Nasional Bhd boleh memohon penyahsenaraian syarikat penerbangan itu daripada Bursa Malaysia.

"Kami yakin ia akan dimuktamadkan menjelang akhir 2014," katanya.

Pada mesyuarat agung luar biasa (EGM), Khamis, pemegang saham minoriti mengundi meluluskan cadangan penswastaan MAS oleh Khazanah, pada harga 27 sen sesaham.

Maybank IB berkata 93.98 peratus mengundi memihak kepada cadangan itu manakala 6.02 peratus menentangnya.

"MAS akan berada pada kedudukan yang sukar jika tiada modal baharu disuntik dalam tempoh terdekat," katanya.

Sementara itu, RHB Research berkata penswastaan menandakan suatu permulaan baharu.

Firma penyelidikan itu berkata pelan penstrukturan semula RM6.0 bilion oleh Khazanah meliputi suntikan modal, penyelarasan tenaga kerja, mengkaji semula laluan dan merundingkan semula kontrak bekalan.

"Saranan kami sebelum ini 'neutral'. Kami sudah memberi nasihat kepada pemegang saham minoriti supaya menerima tawaran itu kerana kami tidak nampak potensi pemulihan ketara syarikat penerbangan itu selepas insiden MH370 dan MH17.

"Ini ditambah pula dengan kedudukan operasi industri penerbangan yang mencabar," katanya.

Saham MAS tidak berubah pada 26.5 sen pada rehat tengah hari, dengan 50.14 juta unit bertukar tangan.


MAS, Khazanah, Maybank

Artikel Sebelum

Media Prima Tawar MSS

Artikel Berikut

Artikel Lain