suria

Hitachi Sunway Ambil Alih 100 Peratus Saham I-Net Singapura

KUALA LUMPUR: Hitachi Sunway Information Systems Sdn Bhd. (Hitachi Sunway) mengambil alih 100 peratus kepentingan dalam I-Net Solutions (S) Pte Ltd (I-Net), sebagai pelaburan korporat terkini syarikat dalam proses pengembangan serantau.


Syarikat itu berkata perolehan tersebut merupakan yang ketiga dalam siri pengambilalihan sejak 12 bulan lepas oleh usaha sama Jepun-Malaysia yang ditubuh pada April 2013 berkenaan.

Menurut kenyataan syarikat itu hari ini, tujuan utama pengambilalihan ialah untuk memperkukuh perniagaan Infrastruktur dan Perkhidmatan Terurus (IMS) yang mendapat manfaat daripada pengambilalihan Free Net Business Solutions Sdn Bhd dan Powerware Systems Sdn Bhd pada Julai 2014.

Ditubuhkan di Singapura pada 2003, I-Net menyediakan penyelesaian perkhidmatan berintegrasi sistem IT, rangkaian kerja dan perkhidmatan terurus dengan cawangan di Thailand, Indonesia, Malaysia dan China.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Kumpulan, Cheah Kok Hoong berkata, syarikat sedang melaksana pelan pertumbuhan agresif sebagai sebahagian langkah strategik untuk memacu kedudukan pasarannya dalam sektor penyelesaian dan penyediaan IT.

"IMS merupakan sektor pertumbuhan yang tinggi dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi membabitkan banyak elemen sumber teknikal spesifik, kecakapan teknik dan fasiliti," katanya.

Perolehan baru-baru ini memperkukuh matlamat korporat Hitachi Sunway untuk menjadi pusat sehenti penyedia penyelesaian dan perkhidmatan IT di Asia Tenggara dan pengambilalihan I-Net akan membolehkan syarikat mengembangkan tapak perniagaan dan penawaran IT di Singapura.

Dengan meneroka keupayaan integrasi sistem I-Net, syarikat kini mampu menawarkan penyelesaian IMS dan pusat data kepada perkhidmatan kewangan, konglomerat besar dan syarikat berkaitan kerajaan, kata Cheah.

Hitachi Sunway berkata, syarikat itu menjangka dapat mengatasi sasaran pendapatan perniagaan RM137 juta sebelum ini dengan peningkatan 75 peratus kepada RM240 juta menjelang fiskal 2015, dan menambah I-Net akan digabungkan sebagai anak syarikat serta dinamakan Hitachi Sunway Network Solutions Pte Ltd sebaik menerima kelulusan pihak berkuasa. 


Hitachi Sunway, Singapura

Artikel Lain