suria

Pertumbuhan Pendapatan MAHB Positif - Penganalisis

KUALA LUMPUR:Penganalisis kekal positif ke atas pertumbuhan pendapatan jangka panjang Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan mengekalkan saranan 'beli' dan 'pegang' dengan harga sasaran di antara RM7.40 dan RM8.90.


Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, yang menyasarkan RM8.90 dalam saranan 'beli' berkata, MAHB adalah pemanfaat utama trafik udara yang kukuh ke Malaysia, sejajar dengan inisiatif kerajaan meningkatkan pelancongan.

"Kami dapati peningkatan pendapatan MAHB suku ke suku kepada RM1.60 juta, daripada kerugian bersih teras RM21.0 juta pada suku kedua tahun ini, walaupun trafik penumpang keseluruhannya merosot 3.9 peratus suku ke suku," katanya dalam satu kenyataan.

AllianceDBS Research, yang telah mengulangi saranan 'pegang' untuk saham MAHB sehingga RM7.40, berkata pelaburan MAHB ke atas Lapangan Terbang Istanbul Sabiha Gokcen (ISG) di Turki kini diambang perubahan.

"Pemangkin berpotensi MAHB ialah dalam operasi lapangan terbang berkenaan dan trafik penumpang yang lebih kukuh daripada jangkaan.

"Ketika pengurusan merancang untuk membuat pembiayaan semula pinjaman ISG, mungkin menjelang akhir 2014, kami menjangka ia akan memperolehi keuntungan pada 2015," kata firma penyelidikan itu dalam satu kenyataan.

Saham MAHB di Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pada RM7.21, susut dua sen pada sesi pagi hari ini dengan 553,400 lot bertukar tangan.


MAHB, HLIB Research, trafik udara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain