suria

AirAsia Rancang Lengkapi 20 Pesawatnya Dengan Wi-Fi Menjelang Akhir 2014

Pramugari AirAsia, Ester Mary U'ren (kiri) and Maria Isabel Gajete mempromosikan kemudahan Wi-Fi dalam pesawat syarikat itu pada majlis pelancaran pada Selasa.
KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd akan melengkapi 20 pesawatnya dengan kemudahan wi-fi menjelang hujung tahun ini, daripada empat sekarang.
  

Ketua Kumpulan Pendapatan Sampingan AirAsia, Kenny Wong berkata, syarikat itu merancang melengkapi semua 80 pesawatnya dengan perkhidmatan wi-fi menjelang suku kedua 2015.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran perkhidmatan wi-fi dalam pesawat yang dilakukan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek serta Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar, di sini, Selasa.

Majlis pelancaran Wi-Fi dalam pesawat AirAsia disempurnakan Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kiri) bersama (dari kiri) Pengarah Eksekutif Tunebox, Sami El Hadery, Aireen Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Tunebox, Adrian Lim.


AirAsia juga mencipta sejarah apabila dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai 'Syarikat Penerbangan Pertama Menyediakan Wi-Fi Dalam Pesawat' di Malaysia dan sijil disampaikan oleh Pengasas dan Pengarah Urusan Malaysia Book of Records, Tan Sri Danny Ooi.

Perkhidmatan wi-fi dikenali 'roKKi Chats' itu disediakan dalam penerbangan AirAsia terpilih membolehkan penumpang menggunakan aplikasi pesanan teks semasa dalam penerbangan.

Setiap token roKKi Chats berharga RM8 untuk penggunaan data 3MB bagi aplikasi WeChat, WhatsApp dan LINE.

Bersempena pelancaran itu, AirAsia menawarkan promosi masa terhad iaitu RM5 untuk setiap token.

Token terbabit serasi dengan kebanyakan peranti tablet dan telefon pintar.


AirAsia, wi-fi, Kenny Wong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain