suria

Pameran Makanan Dunia: Syarikat Malaysia Raih Jualan RM123.19 Juta

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia mencatat kenaikan jualan 58 peratus bernilai RM123.19 juta berbanding RM78.07 juta pada 2012 di Salon de International de l' alimentation Paris 2014, pameran makanan dan minuman terbesar dunia.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) berkata, antara produk yang menarik minat di pameran dua tahun sekali itu ialah minyak sawit, makanan siap dan produk gula-gula.

Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Frankfurt, S. Jai Shankar dipetik kenyataan MATRADE sebagai berkata, usaha agensi galakan eksport itu dalam menonjolkan kekukuhan sektor makanan dan minuman telah berjaya apabila tiga syarikat Malaysia iaitu Ace Canning Corp Sdn Bhd, Mafipro Sdn Bhd dan Happy Alliance(M) Sdn Bhd turut serta dalam pameran berkenaan.

Menurutnya, pembabitan MATRADE dalam pameran itu ialah mengetengahkan produk Malaysia seperti biskut, makanan ringan, kerepek, coklat, gula-gula dan kacang premium kepada dunia.

Kenyataan itu berkata, produk terbabit menarik minat pembeli luar negara, termasuk dari Afrika, Timur Tengah, Amerika Utara dan Eropah.

Pelbagai pertanyaan diterima daripada pembeli yang mencari produk untuk tujuan komersil, termasuk bekalan kepada restoran, pasar raya besar serta kedai runcit.

Lebih 6,300 pempamer daripada 105 negara merangkumi 19 sektor pameran menyertai acara lima hari yang bermula pada 19 Oktober itu.


Matrade, Paris

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain