suria

Peranan Think City Dalam Konteks Warisan Boleh Diperluas

GEORGE TOWN: Peranan Think City Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd boleh diperluas dalam konteks warisan ketara dan tidak ketara selain memelihara bangunan warisan.

Oleh itu, Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengalu-alukan usaha untuk mengetengahkan wacana warisan Melayu di Pulau Pinang oleh Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM), Persatuan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris) dan Think City.

"Dasar pemuliharan masih dijadikan panduan dalam pemuliharaan warisan budaya ketara dan tidak ketara. Dasar ini dijadikan rujukan untuk menentukan cara untuk melindungi warisan itu kekal dan menjadi hak milik negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemerkasaan Warisan Melayu Pulau Pinang: Cabaran dan Harapan di USM, di sini, Sabtu.

Turut hadir Naib Canselor USM Datuk Prof Dr Omar Osman dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka yang juga penyelaras operasi CenPRIS, Datuk Seri Prof Dr Md Salleh Yaapar.

Nor Mohamed berkata penubuhan Pewaris yang diasaskan Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) diharap dapat memperjuangkan kelestarian warisan Melayu di negeri ini.

Beliau berharap pendedahan dan pengetahuan mendalam mengenai warisan Melayu menerusi seminar sedemikian dapat disalurkan dan dikongsi dengan masyarakat terutamanya kepada generasi muda serta menggariskan perancangan dan tindakan yang perlu diambil oleh semua pihak bagi memartabatkan warisan tersebut.

Sementara itu, Md Salleh berkata berkata usaha meneroka dan menjejak semua aspek dan unsur warisan Melayu di Pulau Pinang yang belum ditonjolkan perlu diteruskan bagi meningkatkan kesedaran serta mempertingkat pengetahuan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang dan Malaysia.

"Tujuan memelihara dan memulihara perlu supaya yang mungkin selama ini (warisan) yang tercicir boleh diangkat balik dan dipelihara. Sebahagian besar daripada pembentangan di seminar ini diharap dapat diperkemas dan diusahakan untuk tujuan penerbitan," katanya.

Md Salleh berharap hasil kertas pembentangan dapat digunakan untuk kajian warisan Melayu supaya dapat menulis semula sejarah Pulau Pinang yang selama ini difahami daripada perspektif penjajah.

Beliau berkata fahaman orang ramai bahawa pembukaan Pulau Pinang oleh Francis Light pada 1786, walhal ada bukti jelas bahawa penempatan orang Melayu di Batu Uban wujud sebelum itu.

Think City

Artikel Lain