suria

MTDC Meterai MoU Di Dubai

KUALA LUMPUR: Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) menyediakan kemungkinan lebih banyak peluang kerjasama kepada syarikat tempatan di Timur Tengah dengan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU).

MoU itu dengan FATHIMA Group of Companies yang berpangkalan di Dubai dan ditandatangani semasa Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) 2014 baru-baru ini, disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Norhalim Yunus dalam kenyataan berkata kedua-dua pihak komited untuk bekerjasama dalam beberapa bidang termasuk perkongsian ilmu, pembinaan kapasiti, program pembangunan perniagaan dan keusahawanan.

"Sejak dua dekad lalu, kami bukan hanya merapatkan jurang antara makmal dan pasaran.

"Kami turut memudahkan pewujudan ekosistem yang sesuai bagi pengkomersilan berkembang, dengan mengguna pakai mekanisme yang berkesan melalui suntikan dana awam," katanya.

Tiga buah syarikat yang menerima dana daripada MTDC memeterai MoU dengan FATHIMA Group, membolehkan mereka meneroka peluang dan mengembangkan perniagaan mereka di negara-negara Teluk.

Syarikat tersebut ialah MIFF Marketing (M) Sdn Bhd yang menyediakan Perkhidmatan Pembersihan Hijau Islam (GIC), Bioalpha Holdings Bhd, syarikat makanan tambahan dan herba bersepadu, dan Euro-Circuit Technology Sdn Bhd, syarikat pengeluaran khusus penyahgris berasaskan air.

MTDC, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd ditubuhkan pada 1992, menggalakkan penggunaan teknologi oleh syarikat-syarikat tempatan melalui pengkomersilan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan atau pemerolehan teknologi asing.

Ia kini menjadi peserta utama dalam pengkomersilan dan pengurusan dana kerajaan.

Ketika ini, MTDC menguruskan lima dana berjumlah RM1.8 bilion, khususnya Dana Pengkomersilan R&D, Dana Pemerolehan Teknologi, Dana Permulaan Perniagaan, Dana Pertumbuhan Perniagaan dan Dana Pengembangan Bumiputera.

MTDC

Artikel Lain