suria

Pempamer Malaysia Catat Jualan RM991 Juta Di Yangon

Ruang pameran syarikat Malaysia mendapat perhatian di Yangon
KUALA LUMPUR: Pempamer Malaysia mencatatkan jualan bernilai RM991 juta dalam Pameran Perkhidmatan Malaysia dan Wadah Malaysia 2014 di Myanmar baru-baru ini.


Daripada 70 syarikat Malaysia yang menyertainya, 35 mempromosikan perkhidmatan, manakala baki mempamerkan produk pada pameran empat hari bermula 1 Oktober di Yangon, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam kenyataan di sini.

Antara perkhidmatan yang menjana minat ialah perkhidmatan perunding dan sokongan bagi industri minyak dan gas, program latihan korporat dan pendidikan, perniagaan francais, jentera dan sistem acuan.

Matrade berkata, produk yang menjadi tumpuan termasuk kesihatan dan kesejahteraan, generator, penukar haba, dandang stim, lantai kayu, tong sampah bersaiz industri, bahan-bahan cat, pepasangan air, spa, makanan dan minuman serta barangan rumah.

Sebanyak 1,000 mesyuarat perniagaan antara syarikat Malaysia dan Myanmar diadakan sepanjang pameran, selain bengkel untuk delegasi yang turut meliputi usahawan wanita bagi membentuk rangkaian kerja dan meneroka perkongsian strategik dalam perkhidmatan kejuruteraan profesional dan pendidikan.

Di samping itu, program rentas sempadan meliputi pertemuaan dengan pihak berkuasa tempatan dan pemimpin perniagaan juga diadakan bagi meneroka peluang pelaburan serta akses pasaran dalam pasaran pesat berkembang tersebut.

Program juga mengenal pasti peluang pelaburan usaha sama dalam mereka bentuk dan membina pusat pameran dan konvensyen serta kompleks beli-belah di Yangon, hotel dan resort di beberapa bahagian di Myanmar, projek pelancongan dan kerja-kerja pembinaan serta rekaan dalaman.

Peluang pelaburan yang dinyatakan termasuk hospital swasta, perumahan, hab pengangkutan awam berintegrasi dan projek berkaitan pelancongan. 


Matrade, Yangon

Artikel Berikut

Artikel Lain